Sudirman Mohd Tahir


SEBUT saja Idola Kecil, nama-nama penyanyi seperti Haqiem Rusli, Azzam Sham, Dayana Amerda, Harris Alif, Wan Azlyn ataupun lebih mesra dikenali sebagai Darling pasti menjadi perbualan ramai.

Ternyata pentas Idola Kecil berjaya mencungkil dan mengasah bakat di usia muda. Selepas tujuh tahun, Idola Kecil kembali dengan konsep dan format yang baharu di TV3 dengan Idola Kecil Di Rumah.

Bersesuaian dengan norma baharu yang sedang dialami golongan kanak-kanak iaitu sesi pembelajaran dari rumah, Idola Kecil Di Rumah membuka peluang kepada enam kanak-kanak untuk mengikuti pelbagai pengisian program ilmiah dan rekreasi yang bermanfaat.

Menampilkan Scott's sebagai penaja eksklusif, Idola Kecil Di Rumah bersiaran di TV3 setiap Ahad, jam 3 petang bermula 10 Oktober lalu untuk lapan episod.

Program berdurasi satu jam itu menampilkan Sissy Imann sebagai hos dan enam peserta yang berusia antara lapan hingga 12 tahun.

Program ini akan meraikan pemenang mingguan dan seorang pemenang utama di penghujung program berdasarkan prestasi dan cabaran yang dilakukan masing-masing pada setiap minggu.

Pengurus Projek Idola Kecil Di Rumah, Muhamad Sufian Che Isa berkata, program itu mengambil pendekatan melakukan sesi rakaman secara dalam talian dengan enam peserta terpilih.

"Pembelajaran di rumah sudah menjadi norma baharu untuk kanak-kanak sejak pandemik Covid-19. Selain pendidikan teras, mereka juga perlu didedahkan dengan kemahiran hidup dan diberikan peluang untuk menyerlahkan bakat. Jadi, Idola Kecil Di Rumah mengambil pendekatan melakukan sesi rakaman secara atas talian dengan enam peserta terpilih ini.

"Selain melakukan persembahan secara maya dari rumah, peserta juga diberikan cabaran yang berbeza seperti Sembang IK dan Genius IK untuk menguji kebolehan komunikasi, IQ dan kecerdasan otak. Kami juga akan memaparkan selebriti jemputan dalam setiap episod untuk berinteraksi dengan peserta ini supaya pengisian program tetap menarik walaupun ia dirakam secara maya," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar GSK Consumer Healthcare Malaysia, Bryan Wong berkata, kerjasama bersama Media Prima Berhad (MPB) bertujuan untuk mendorong kanak-kanak mencabar minda dan membabitkan diri dalam penyelesaian masalah melalui aktiviti disediakan.

"Kanak-kanak sentiasa aktif dan mempunyai sifat ingin tahu seperti mana yang digambarkan dalam siri permainan baharu ini yang mencabar minda, stamina dan kemahiran mereka melalui aktiviti dalaman dan luaran. Aktiviti ini adalah pengalaman pembelajaran yang positif, di mana mereka perlu mengenal pasti dan menerapkan strategi yang berbeza untuk menyelesaikan masalah.

SISSY Iman selaku hos Idola Kecil DI Rumah.
SISSY Iman selaku hos Idola Kecil DI Rumah.

"Scott's Gummies dengan DHA mempertingkatkan sifat ingin tahu dalam kalangan kanak-kanak dan ia mengandungi DHA. DHA adalah blok utama yang membina perkembangan otak dan fungsi mata. Kerjasama kami bersama MPB bertujuan untuk mendorong kanak-kanak mencabar minda dan membabitkan diri mereka dalam penyelesaian masalah melalui aktiviti yang menarik dan mencabar," katanya.

Idola Kecil Di Rumah menampilkan enam kanak-kanak yang berbakat besar iaitu Adaputra Iskandar Danial Asdahrizam (Ada, 11, Selangor); Nur Zulaikha Mohamad Riduan (Ikha, 12, Selangor); NurAdyena Hanim Abdul Hamid (Dyna, 11, Negeri Sembilan); Razfazreyza Fenge Mat Rafengi (Reyza, 12, Selangor); Nur Marsha Auni Zahira (Asha, 12, Kuala Lumpur); dan Nur Qaireen Izyan Damia Jukiri (Qyen, 11, Sabah).

Selain itu, Sissy Imann juga akan bergandingan dengan hos yang berlainan pada setiap episod. Lebih istimewa, mereka ialah ahli keluarga Idola Kecil seperti Haqiem Rusli, Afiq Syazwan, Didi Astilah, Syada Amzah, Azzam Sham, Irfan Haris dan Harris Alif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 6:30 AM