AZZAM berusaha beri kelainan pada persembahannya setiap minggu. FOTO Aziah Azmee
AZZAM berusaha beri kelainan pada persembahannya setiap minggu. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin


PEMBABITAN Azzam Sham dalam kerjaya seni terutama nyanyian bermula sejak kanak-kanak apabila pernah menyertai pertandingan Idola Kecil musim kedua di TV9.

Bagaimanapun, Azzam turut menceburi lakonan selepas itu dengan aktif membintangi drama dan telefilem. Namun, minat terhadap nyanyian tak pernah pudar.

Justeru, tahun lalu Azzam berpeluang muncul dengan lagu solo berjudul Biar Saja yang secara tak langsung menyinarkan semula bakat nyanyiannya.

Namun, bagi bersaing memantapkan semula nama dan bakatnya itu, Azzam kini menyahut cabaran menyertai program realiti Big Stage musim ketiga.

Perjuangan Azzam di pentas Big Stage sudah bermula Ahad lalu dan nyata pembabitannya tidak disia-siakan kerana dia begitu menunjukkan kesungguhan dan komitmen.

Mengulas lanjut, Azzam atau nama sebenarnya Muhammad Azzammuddin Lop Hisham berkata, dia berusaha membuat persembahan terbaik demi menghiburkan peminat dan memastikan juri berpuas hati.

"Bagaimanapun, persaingan baharu bermula dan kesungguhan yang ditunjukkan kerana saya serius menyertai pertandingan ini. Saya harus mencuba sebaik mungkin.

"Ditambah, saya mendapat sokongan padu daripada banyak pihak terutama rakan-rakan. Malah, peminat pun ramai yang nak tengok saya muncul di TV," katanya.

Mengambil kira sokongan diberi peminat, Azzam berkata, tidak wajar untuk dia melepas peluang dan dia gembira dapat membuat persembahan agak baik Ahad lalu.

"Saya pun tak sangka berjaya mendapat tempat teratas pada minggu pertama Big Stage ketika menyanyikan lagu Salam Sejahtera itu. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur.

"Untuk puas hati, saya belum sampai tahap itu lagi kerana persaingan baharu bermula. Perjuangan masih panjang dan saya perlu lebih kreatif memikirkan konsep persembahan.

"Saya akan cuba membuat terbaik mengikut kemampuan dan penonton terhibur. Apapun, terima kasih pada peminat yang tak jemu menyokong saya," katanya.

Menurut Azzam, dia akan berusaha memberi kelainan pada persembahannya setiap minggu.

Katanya, dia juga akan cuba keluar daripada zon selesa dan mencabar diri sendiri.

Sehubungan itu, Big Stage 2020 turut disertai bakat muda lain seperti Hanie Soraya, Usop Mentor, Nana Sheme, Yamani Abdillah dan ramai lagi penyanyi kelompok 'budak baru nak up' (BBNU)

Manakala, barisan juri profesional pula diterajui penyanyi dan komposer, Faizal Tahir, Ajai serta penyanyi berkaliber, Dayang Nurfaizah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 6:38 AM