SEMBILAN tahun bergelar penyampai banyak didik Haiza hati-hati dalami cabang seni.
SEMBILAN tahun bergelar penyampai banyak didik Haiza hati-hati dalami cabang seni.
Syafil Syazwan Jefri


MENJADI penyampai radio bukan satu tugas yang mudah. Tidak hanya untuk menghiburkan pendengar, penyampai radio juga perlu bijak dalam menjadi wadah bagi menyampaikan informasi terkini.

Dalam dunia serba maju, tanggungjawab penyampai radio menjadi lebih mencabar untuk bersaing hebat dengan pelbagai platform digital atau media baharu yang lain seperti media sosial dan podcast untuk menarik pendengar.

Bagi penyanyi yang juga penyampai radio, Haiza Hanafi, usia sembilan tahun bergelar penyampai radio banyak mendidiknya supaya mendalami cabang seni ini dengan penuh berhati-hati namun pada masa sama, kekal relevan.

"Ini adalah kerjaya yang menjamin punca pendapatan saya. Walaupun dalam tempoh pandemik, saya bersyukur kerana masih dapat bekerja dan menjana pendapatan walaupun dari segi pendapatan keseluruhan ada yang terjejas memandangkan saya dah tak dapat membuat persembahan pentas," katanya.

Berkongsi mengenai tugasannya sebagai penyampai radio di Kool FM, Haiza sentiasa mencari ilmu dan pegetahuan mengenai isu terkini serta berita sensasi yang berlaku bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga dari luar negara.

TAMPIL dengan single baharu, Mantan Isterimu.
TAMPIL dengan single baharu, Mantan Isterimu.

"Untuk mendapakan informasi, saya banyakkan membaca mengenai isu semasa dan sebagainya. Saya akan aktifkan notifikasi untuk semua portal berita untuk dapatkan maklumat terkini secara online.

"Bukan sekadar berita serius, saya juga mencari berita terkini mengenai dunia hiburan terutama muzik serta apa yang tular di media sosial," katanya.

Mengakui perlu bijak dalam mengikut rentak industri radio, Haiza bagaimanapun tidak merancang untuk terus berkhidmat sebagai penyampai radio sehingga akhir usia.

"Kalau ada peluang untuk berkhidmat sehingga usia 50 tahun pun, apa salahnya. Tapi, rasanya saya tidak akan kekal di sini sehingga usia itu memandangkan ada rancangan lain yang sudah saya rancangkan dalam agenda kehidupan saya," katanya.

Single baharu kisah wanita gila talak

Terbaharu, Haiza melancarkan single baharunya berjudul Mantan Isterimu yang tidak kurang hebat menuai kontroversi dalam kalangan netizen. Rata-rata, ada yang mengatakan Haiza seperti membela nasib wanita yang merampas hak orang lain.

"Kalau ada yang mengatakan lagu ini menjatuhkan martabat wanita, saya rasa kalau kita sentiasa memandang negatif terhadap sesuatu golongan pun tak boleh juga kerana tentunya ada cerita berbeza daripada mereka.

"Jadi, menerusi lagu Mantan Isterimu, saya cuba bercerita dari sudut pandang wanita yang dianggap sebagai perampas. Jadi, tak salah untuk saya menjadi penyampai dan menyampaikan cerita daripada pihak mereka," katanya.

HAIZA sudah sembilan tahun menjadi penyampai radio.
HAIZA sudah sembilan tahun menjadi penyampai radio.

Diminta berkongsi lebih lanjut mengenai single baharu ciptaan Ajai dan lirik oleh Iman Imran itu lagi, Haiza berkata, ia lebih berkisar mengenai kisah wanita yang gila talak.

"Ketika saya diberikan lagu ini, saya memang dah tahu judulnya, cumanya belum tahu dan faham mengenai jalan ceritanya. Tapi, apabila lirik dah siap sepenuhnya saya dah faham mesej yang disampaikan menerusi lagu ini.

"Lagu ini secara ringkasnya berkisar mengenai wanita yang gila talak dan tak boleh melupakan kisah lamanya. Bukan tak ada kes sebegini berlaku dalam dunia nyata sebab kita sendiri ada terbaca terutama di media sosial dan sebagainya," katanya.

Namun Haiza meminta netizen supaya tidak mudah menghakimi sesuatu perhubungan yang mereka sendiri tidak pasti, versi cerita mana adalah cerita yang tepat dan benar.

"Yang tahu hanya bekas suami dan bekas isteri yang pernah berada dalam sesuatu hubungan itu. Kita sebagai orang luar tidak sepatutnya menghakimi mereka kerana kita tak tahu hujung pangkal hubungan mereka," katanya.

Memandangkan dia penyampai radio di stesen radio Kool FM, Haiza juga ditanya mengenai stesen lain yang mungkin akan menolak untuk memutarkan lagunya di stesen mereka.

"Saya tahu mengenai perkara ini dan saya sedar bahawa ia berlaku, namun tidak semua stesen bersikap sedemikian. Bagaimanapun, saya tidak melihat itu sebagai sekatan untuk lagu saya dimainkan di stesen lain.

"Saya sendiri pun tahu etika saya sebagai penyampai dan artis. Kalau saya muncul di stesen lain untuk mempromosikan karya yang saya bawakan, takkan saya nak sebut nama stesen tempat saya bekerja.

"Saya rasa tradisi di mana sesuatu lagu ditolak daripada dimainkan atas sebab seperti ini perlu dipecahkan dan tidak patut diteruskan kerana mereka perlu faham dan menolak tepi pekerjaan dan karya seni," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 6:40 AM