Syafil Syazwan Jefri


Jangan Pernah Berdusta adalah lagu baru ciptaan penyanyi Drama Band, Aepul Roza yang dinyanyikan bersama Haiza.

Berbeza dengan lagu baru lain yang muncul dalam industri muzik hari ini, Jangan Pernah Berdusta mengetengahkan genre rockdut atau jalinan muzik berentak pop rock dan dangdut.

Rentaknya segar dan tentunya vokal mantap kedua-dua penyanyi ini juga menjadikan ia lebih menarik perhatian pendengar.

Di bahagian Aepul, rentak pop rock jelas kedengaran dan tidak terlalu asing dengan suaranya yang terkenal dengan lagu sebegini.

Bahagian dangdut pula menjadi dan tentunya tidak mengecewakan memandangkan Haiza memang sinonim dengan muzik genre ini sejak awal kemunculannya dulu.

Jangan Pernah Berdusta juga hasil kerjasama selepas kedua-dua penyanyi ini selesai dengan program realiti Duo Star, baru-baru ini.

Bercerita mengenai liriknya, Jangan Pernah Berdusta menyajikan jalan cerita yang jelas dan tersurat. Dalam erti kata lain, secara terang, pendengar akan dapat memahami apa yang ingin diceritakan.

Ia berkisar mengenai kekasih yang memohon pasangannya supaya tidak berdusta kerana tak mampu hidup tanpanya.

Pada masa sama, dia juga berjanji tidak mendustakan cinta kedua-dua mereka.

Bagi Haiza, walaupun pertama kali berduet dengan Aepul, mereka sangat serasi.

“Untuk single, ini kerjasama pertama saya dan Aepul. Dalam program Duo Star, kami banyak berbincang untuk menjayakan setiap konsert mingguan.

“Jadi, keserasian itu memang sudah wujud dan untuk menghasilkan lagu ini, semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.

Menurut Haiza, kedua-dua mereka juga giat mempromosikan single ini walaupun ada beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan.

“Saya sendiri faham, ada percanggahan antara kerjaya sebagai penyampai radio di Kool FM. Jadi, lagu ini mungkin tidak dimainkan di stesen radio lain selain di bawah Media Prima Berhad.

“Jadi, kami bergerak secara bersungguh-sungguh untuk memastikan orang ramai tahu mengenai lagu ini. Saya harap stesen TV juga akan turut memberikan sokongan kepada lagu ini,” katanya.

Menurut Haiza, ini bukanlah single pertama dan terakhir mereka, akan ada lagi beberapa buah tangan baru selepas ini.

INFO

• LAGU: Jangan Pernah Berdusta

• PENYANYI: Aepul & Haiza

• LAGU & LIRI: Aepul Roza

• TERBITAN: Nova Music

• EDARAN: Indigital Sdn Bhd

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 11:08 AM