HAIZA tegaskan hubungan baik yang terjalin bersama Faradhiya tak terjejas dengan komen peminat.
HAIZA tegaskan hubungan baik yang terjalin bersama Faradhiya tak terjejas dengan komen peminat.
Oleh Rudy Imran Shamsudin


Ibarat rumah sudah siap, tetapi pahat masih berbunyi. Sebaik rancangan Gegar Vaganza musim kedua (GV2) yang menampilkan penyanyi berpengalaman beradu bakat tamat, banyak isu dibangkitkan penonton setia.

Seperti diketahui umum, pada malam konsert akhir GV2, di Dewan Majlis Bandaran Shah Alam (MBSA) pertengahan Disember lalu, penyanyi yang sebelum ini popular dengan lagu Paling Comel, Siti Nordiana di­umumkan juara diikuti Faradhiya (naib juara), Ezad Lazim (tempat ketiga), Nassier Wahab (tempat keempat), Acong Sweetchild (tempat kelima) dan Haiza (tempat keenam).

Antara yang menarik perhatian ada yang mempertikaikan keputusan dibuat juri tetap iaitu Datuk Ramli M.S dan Datuk Khatijah Ibrahin juga juri jemputan, Datuk Rosyam Nor.

Paling hangat diperkatakan hingga kini mengenai kemenangan Faradhiya selaku naib juara dan Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin berada dikedudukan paling akhir.

Menerusi laman sosial kelab peminat kedua-dua penyanyi berpengalaman itu, mereka mempertikaikan keputusan dengan mendakwa Haiza yang menampilkan persembahan penuh warna dengan konsep persembahan berlainan setiap minggu, sepatutnya diumumkan naib juara.

Bagi peminat Faradhiya pula, mereka mempertahankan kemenangan pe­nyanyi yang pernah popular dengan lagu Bertakhta Di Hati itu kerana persembahan konsisten diberikan setiap minggu sepanjang pertandingan berlangsung.

Adakah disebabkan komen peminat mempengaruhi Haiza dan turut menjejaskan hubungan baiknya dengan Faradhiya? Sepanjang perkara itu hangat diperkatakan, Haiza tidak pernah mengulas mengenai isu dibangkitkan.

Ditemui baru-baru ini dan diminta pandangan mengenai rasa tidak puas hati penonton setia program itu, kata Haiza dia langsung tidak ‘ambil pusing’ apabila orang keliling memperkatakan mengenainya.

“Memang saya ada baca di laman sosial, dan rata-rata peminat mahu saya menang, tapi saya tidak terlalu memikirkan mengenainya. Pembabitan saya dalam GV2 bukan untuk kejar kemenangan dan kedudukan, sebaliknya lebih kepada mencari pengalaman.

“Berjaya menempatkan diri dalam peringkat akhir pun sudah bersyukur sebab kalau hendak diikutkan semua 12 peserta GV2 mahu menempah tempat ke pering­kat akhir. Pada saya walaupun berada di tangga paling akhir ia tetap satu pencapaian kerana belum pernah lagi saya mencipta kejayaan seperti itu,” katanya.

Jelas Haiza, dia sedar apabila ada orang cuba me­ngaitkan kekalahannya dengan kemenangan Faradhiya yang muncul naib juara, tapi perkara itu tidak pernah mengganggu hubu­ngan baik yang sudah terjalin antara mereka.

“Antara kami berdua tidak pernah timbul sebarang isu. Hubungan kami okey. Saya menganggap perkara seperti itu biasa. Ada pihak cuba laga-lagakan kami.

“Kalau nak diikutkan, mereka bukan saja nak laga-lagakan saya dengan Faradhiya tapi juga dengan Siti Nordiana. Malah ada orang luar beraninya bertanya bukankah saya dengan Siti Nordiana bergaduh. Terkejut saya mendengarnya. Macam dia orang lebih tahu apa yang berlaku antara kami.

“Percayalah kami enam finalis memang tidak ada masalah. Saya tahu peminat setia program GV2 mengharapkan saya menang. Mereka mahu yang terbaik untuk saya, tapi sudah tertulis rezeki hanya setakat itu. Apapun saya bersyukur dengan peluang diberikan,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai perancangannya selepas GV2, kata Haiza dia akan meneruskan kerjaya seninya seperti biasa dan kini sedang berusaha menyiapkan single terbaru.

Menyentuh mengenai timbul konflik membabit­kan kerjaya nyanyian kelak dan lagunya tidak diputarkan stesen radio lain hanya kerana Haiza kini turut bergelar penyampai radio di Best FM, Johor Bahru, Johor.

Katanya mengenai isu itu dia berharap, mendapat sokongan daripada pihak stesen radio lain memandang­kan sebagai penyanyi sambutan diterima terhadap lagu dihasilkan dapat memastikan kelangsungan kerjaya.

“Tanpa sokongan stesen radio tempatan, siapalah saya sebagai penyanyi. Apatah lagi cinta saya dalam bidang nyanyian ini masih kuat. Dulu pun apabila saya menghasilkan lagu baru sokongan diberikan agak terbatas. Saya faham sebab dengan konsep format radio, setiap stesen mempunyai sasaran.

“Bagaimanapun sebagai penyanyi andai saya menghasilkan lagu baru, dan dimainkan di radio tempatan ia menjadi platform untuk saya pergi jauh.

“Sementara tugas saya sebagai penyampai radio adalah satu pekerjaan seperti orang lain juga. Saya berharap sangat stesen radio melihat saya sebagai penyanyi, lebih-lebih lagi selepas menyertai GV2,” katanya.

Jelas Haiza sewaktu dia menyertai GV2, pihak Astro tidak melihat tugasnya sebagai penyampai radio di Best FM satu masalah, kerana mereka menilainya sebagai seorang penyanyi. Begitu juga yang diharapkan selepas ini, apabila dia menghasilkan single terbaru.

Menjelaskan mengenai single yang sedang dirancang pembikinannya, kata Haiza dia memilih mendendangkan lagu yang berbeza dengan genre dangdut sebelum ini.

“Saya ambil pandangan dan maklum balas peminat sewaktu saya menyertai GV2, kata mereka saya sesuai menyanyikan lagu rock. Jadi untuk single terbaru ini saya cuba mendendangkan lagu balada yang mempunyai elemen rock. Diharapkan ia dapat menarik perhatian peminat industri muzik tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 5:02 AM