HAIZA kini sebagai penyampai radio Kool FM.
HAIZA kini sebagai penyampai radio Kool FM.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyampai radio dan penyanyi, Haiza Hanafi mengingatkan penyampai radio lain termasuk dirinya supaya sentiasa menjaga reputasi dan nama baik majikan dengan tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan etika.

Haiza yang sudah sembilan tahun menjadi penyampai radio berkata, menjadi tanggungjawab penyampai radio berfikir sebelum melakukan sesuatu sama ada ketika ke udara atau di media sosial.

"Penyampai radio adalah muka depan untuk stesen radio. Tanggungjawab seseorang penyampai radio itu besar kerana bukan saja membawa nama sendiri, tetapi juga nama stesen radio, keluarga dan banyak lagi.

"Apabila kita sudah menandatangani kontrak untuk bekerja, kita perlu menjaga reputasi majikan dan sentiasa berfikir semasak-masaknya sebelum melakukan sesuatu," katanya kepada Harian Metro. Menurutnya, majikan wajar mengambil tindakan sekiranya seseorang penyampai itu melanggar etika yang ditetapkan.

"Kalau apa yang dilakukan tidak menjejaskan nama majikan, mungkin tak menjadi masalah. Tapi, bila ia membabitkan nama baik majikan, saya rasa wajar untuk majikan mengambil tindakan," katanya.

Sebagai penyampai yang kini bekerja di stesen radio Kool FM, Haiza sentiasa mengingatkan dirinya sebelum melakukan sesuatu terutamanya dalam bergurau senda ketika ke udara.

"Kita perlu sentiasa beringat dengan setiap apa yang dituturkan ketika ke udara. Jika tersalah langkah, boleh menjadi sangat bahaya. Rakan seangkatan saya, AG selalu mengingatkan supaya saya menjadi diri sendiri ketika ke udara.

"Dia juga ingatkan saya, penyampai radio tak boleh menyentuh perkara-perkara sensitif contohnya mengaibkan bentuk badan seseorang. Kalau saya nak kongsikan apa-apa pun yang berkaitan bentuk badan, saya akan kaitkan dengan diri sendiri," katanya.

Terbaru, Haiza kini hadir dengan single baru berjudul Mantan Isterimu ciptaan komposer, Ajai dan lirik oleh Iman Imran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 2:26 PM