ARTIS yang hadir memeriahkan acara.
ARTIS yang hadir memeriahkan acara.
Ridzuan Abdul Rahman


SEMPENA meraikan ulang tahun pertama, pengurusan radio online dikenali sebagai Myfriendfm mengadakan sambutan kecil-kecilan membabitkan penyampai mereka, baru-baru ini.

Turut memeriahkan acara ialah beberapa artis jemputan antaranya Shafie Rio, Bard EYE, Anjang Terra Rossa serta kumpulan Buskers. Malah, Anjang turut terbabit membacakan doa selamat pada majlis berkenaan.

Myfriendfm membariskan penyampainya, Charl Tazen yang mengendalikan segmen Apa Khabar/ Cakap Sukan/ Bintang Malam Ini/ Kisah Orang Mati pada setiap Isnin, jam 9 malam hingga 11 malam.

Penyampai Pool pula mengendalikan segmen Rock Track pada jam 12 tengah malam sehingga 3 pagi. Selain itu, dia turut mengendalikan segmen Geng Buskers pada setiap Selasa bermula jam 9 malam sehingga 12 malam.

Bekas penyampai popular stesen Sinar FM iaitu Jamal Jay Jamaluddin pula tampil dengan segmen Cetusan Hati Dan Dedikasi pada setiap Rabu, pada jam 11 malam sehingga 3 pagi.

Setiap Khamis pula, Jamal mengendalikan segmen Borak Santai Bersama Artis Retro pada jam 11 malam sehingga jam 3 pagi.

Penyampai Iera Yusoff pula tampil dengan segmen Cerita Kita pada jam 4 petang hingga 7 malam setiap Khamis. Dia juga terbabit dengan segmen Promo Niaga pada jam 4 petang hingga 7 malam pada setiap Jumaat.

PENYERTAAN Jamal Jay dan Pool mengukuhkan lagi nama Myfriendfm.
PENYERTAAN Jamal Jay dan Pool mengukuhkan lagi nama Myfriendfm.

Bagi penyampai Teha Sukor, dia mengendalikan segmen Lagu Baru Artis Otai / Teka lagu / Karaoke pada jam 9 malam hingga 12 tengah malam pada Jumaat.

Jamal Jay Jamaluddin yang menyertai stesen Myfriendfm sejak Mac lalu berkata, tawaran diberikan pengurusan kepadanya kerana mereka memerlukan seseorang yang lama, dikenali ramai dan boleh membimbing penyampai sedia ada.

"Selama tiga bulan mereka pujuk, baru saya setuju terima. Pada Mei lalu, saya beri cadangan pada mereka supaya jadikan konsep radio ini 100 peratus retro. Kalau lihat di luar sana, banyak stesen yang mainkan lagu baharu.

"Saya cakap dengan pengurusan supaya jadikan Myfriendfm umpama Sinar tahun pertama dan kelima yang tak mainkan lagu baharu. Itu yang buat Sinar jadi stesen nombor satu pada 2010.

"Di stesen ini pun saya tampilkan formula yang sama sebab selama 15 tahun tiap-tiap malam begitu. Kelebihan di sini ialah tiada protokol. Janji asalkan putar lagu retro saja," katanya.

BARISAN penyampai dan pengurusan Myfriendfm.
BARISAN penyampai dan pengurusan Myfriendfm.

Menurutnya, lagu baharu nyanyian penyanyi retro dibenarkan untuk dimainkan di Myfriendfm.

"Peminat semua okey. Yang terharunya, mereka kata dah tak nak dengar radio stail sekarang.

"Mereka nak stesen ini yang lebih tenang dan mengingatkan nostalgia. Saya juga seronok dapat bawa artis rock lama datang studio.

"Selain itu, saya juga tampilkan artis retro tanah air sebagai artis undangan," katanya.

Perasaan sama turut dikongsi oleh Pool atau nama sebenarnya Syaiful Bahrim Ahmad Dolbar yang pernah bergelar penyampai radio KLfm dan pengacara Galaksi TV9.

"Mulanya saya rasa malas, tapi bila fikirkan bidang ini dah sebati dalam diri memang tak boleh mengelak. Mengapa tak teruskan saja selagi boleh.

"Saya lebih fikirkan sumbangan saya kepada masyarakat. Kepuasannya di situ. Bila pegang pada itu, saya rasa selesa nak buat kerja sebagai penyampai radio, berlakon, menulis skrip dan pengarahan.

"Saya cuba keluar dari kebiasaan radio utama. Di sini pendengar boleh dengar lagu dengan bebas. Tapi, saya tetap jaga etika dan tak lari terlalu jauh," katanya yang pernah menang Anugerah Penyiar Versatil Terbaik menerusi Anugerah Seri Angkasa 2005.

Sementara itu, bagi maklumat lanjut Myfriendfm boleh melayari laman web, website http://myfriend.fm, termasuk carian di media sosial dan platform digital.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 6:30 AM