AZMANI (duduk, belakang) bersama Umarul (baju merah), Mohalim (dua kanan), Kama (kanan) dan peminat, Wan Mohd Firdaus Wan Abas, 44, (kiri). FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
AZMANI (duduk, belakang) bersama Umarul (baju merah), Mohalim (dua kanan), Kama (kanan) dan peminat, Wan Mohd Firdaus Wan Abas, 44, (kiri). FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


SELEPAS 17 tahun tidak mengeluarkan lagu baharu, akhirnya kumpulan terkenal dari Pantai Timur, Iklim muncul semula dengan single berjudul Mawar Kasturi.

Kumpulan yang muncul dengan nama Iklim2020 itu dianggotai Mohalim (Bass), Kama (drum), Huzali (Keybord) dan Umarul (Gitar) selain menampil ahli baharu sebagai penyanyi utama iaitu, Azmani yang sebelum ini penyanyi kumpulan Positif (1990) dan kumpulan Kulit (1995).

Single terbaru itu dicipta Mohalim bersama Umarul serta seorang kenalan rapat, Abd Rahman dan akan dilancarkan pertengahan Julai ini.

Mohalim berkata, lagu bertajuk Mawar Kasturi itu disiapkan sejak awal Mac lalu dan ia dihasilkan menggunakan wang sendiri.

"Kami tiada penaja oleh itu terpaksa mengumpul wang bersama untuk menyewa studio rakaman dan proses adunan semula terakhir lagu dibuat di Amerika Syarikat.

"Selepas sahaja rakaman lagu itu siap, arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula seterusnya menyebabkan perancangan kami tergendala.

"Sepatutnya single terbaru kami itu dilancar April lalu tetapi kerana PKP ia terpaksa ditangguhkan," katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Besar, Kuala Terengganu, hari ini.

Tambahnya, kemunculan semula Iklim2020 itu bukan untuk mengejar kegemilangan yang pernah dikecapi Iklim sebelum ini tetapi sekadar menghidupkan semula legasi kumpulan Iklim seterusnya mengubat kerinduan peminat.

"Iklim bukan sahaja terkenal melalui penyanyi asalnya, arwah Saleem tetapi diminati kerana lagu-lagu yang dipopularkan sejak awal 90an.

"Oleh itu saya bersama ahli kumpulan berasa terpanggil untuk menghidupkan semula kumpulan Iklim melalui Iklim2020 itu.

"Pemilihan Azmani sebagai penyanyi juga sudah lama dirancang tetapi memandang Azmani terikat dengan kontrak syarikat rakaman lama, perancangan itu terpaksa ditangguhkan," katanya.

Menurutnya, penyanyi terbaru Iklim2020 itu diharap diterima peminat dan pemilihannya itu dibuat kerana pelbagai faktor.

"Sampai bila-bila pun tidak akan ada penyanyi yang boleh menandingi keunikan suara arwah Saleem tetapi lengok suara dan nada yang dimiliki Azmani juga unik, sedikit sebanyak ada lenggok yang menepati kehendak Iklim2020," katanya.

Sementara itu Azmani berkata, dia berasa teruja apabila ditawarkan untuk menganggotai kumpulan Iklim2020.

"Saya sudah bersara dalam bidang nyanyi sejak 2000 tetapi kerana Iklim2020 saya berminat untuk aktif semula.

"Kumpulan Iklim ialah kumpulan yang paling diminati dan tawaran sebagai penyanyi utama Iklim2020 seperti mimpi yang menjadi kenyataan," katanya.

Menurutnya, penyertaannya sebagai penyanyi kumpulan Iklim bukan untuk menggantikan penyanyi asalnya.

"Bimbang juga sekiranya peminat tegar Iklim membuat perbandingan dan tidak diterima, tetapi saya akan cuba buat yang terbaik untuk pastikan Iklim2020 kembali hidup di dalam industri muzik tanah air," katanya.

Sementara itu peminat tegar Iklim, Wan Mohd Firdaus Wan Abas, 44, dari Setiu berkata, dia sudah lama menantikan kemunculan semula kumpulan Iklim.

"Kemunculan semula Iklim2020 akan mengubat rindu peminat yang sudah lama menantikan lagu terbaru dan persembahan berkumpulan Iklim.

"Lagu yang dihasilkan ahli kumpulan Iklim biasanya unik dan mempunyai identiti tersendiri serta akan kekal di hati peminatnya," katanya.

Kumpulan Iklim kali terakhir menerbitkan album berjudul Bunga Emas pada 2003 dan membuat persembahan terakhir bersama pada Anugerah Meletop pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 2:23 PM