MAWAR Kasturi, lagu baharu Iklim yang tak diduga mendapat sambutan baik pendengar.
MAWAR Kasturi, lagu baharu Iklim yang tak diduga mendapat sambutan baik pendengar.
Norhayati Nordin


IBARAT irama dan lagu yang tak boleh dipisahkan, begitulah juga dengan kecintaan mendalam anggota kumpulan Iklim terhadap muzik.

Malah, empat anggota Iklim iaitu Mohalim selaku pemain basis, Umarul (gitar), Kama (drum) dan Huzali (Keybord) akur untuk terus bergerak sendiri dalam perjuangan muzik mereka.

Sebaik vokalis hebatnya, Allahyarham Saleem yang memilih untuk menyanyi solo selepas merakamkan album Bunga Emas pada 2003, nama Iklim yang pernah popular pada era 1990-an turut 'tenggelam' dimamah waktu.

Bagaimanapun, semangat membara dan kental anggota Iklim dalam muzik yang tidak pernah pudar nampaknya membawa mereka kembali semula ke pentas industri hiburan tanah air.

Muncul dengan lagu berjudul Mawar Kasturi hasil ciptaan bersama Mohalim dan Umarul serta seorang kenalan rapat, Abd Rahman, kumpulan Iklim kini hadir mengharap harapan baharu.

Menurut Mohalim, kerinduan yang dipendam Iklim selama berbelas tahun menyepi daripada arus muzik perdana akhirnya dapat dileraikan dengan penerbitan lagu Mawar Kasturi, tahun lalu.

"Saya bersama rakan lain dalam Iklim seperti Umarul, Kama dan Huzali memang rindukan bidang muzik yang pernah kami ceburi dahulu. Meski masing-masing kini sudah berusia, semangat kami tidak luntur.

"Jadi, saya ambil langkah bertanya mereka apakah masih berkeinginan lagi untuk merakamkan lagu baharu sekali gus 'menghidupkan semula' Iklim yang baharu.

"Alhamdulillah, kami sepakat dan bersetuju untuk kembali merakamkan lagu baharu dalam suasana perkembangan industri muzik tanah air yang sudah jauh berubah ini," katanya.

Ujar Mohalim, proses rakaman lagu Mawar Kasturi secara teliti dibuat pada tahun lalu, biarpun sedar situasi negara yang berdepan penularan pandemik Covid-19.

"Disebabkan kami teringin nak merakam lagu baharu sebagai pengubat rindu, masing-mssing juga akur harus berkongsi kewangan untuk menjalankan proses rakaman di studio.

"Apapun, Iklim bersyukur hasrat kami untuk kemunculan baharu ini mendapat kerjasama daripada penyanyi, Azmani yang boleh dianggap seangkatan. Azmani juga sudah menceburi dunia nyanyian agak lama.

"Dia pernah bergerak sebagai vokalis dengan dua kumpulan muzik sebelum ini pada era 1990-an. Alhamdulillah, kini Azmani

bersama Iklim selaku vokalis dan kami tampil mempertaruhkan lagu Mawar Kasturi," katanya.

Lagu Mawar Kasturi yang diedarkan MVM Music disifatkan juga sebagai percubaan Iklim untuk melihat penerimaan peminat sama ada kemunculan Iklim yang baharu ini diterima serta mendapat sokongan.

Kata Mohalim, dia bersyukur Iklim mendapat maklum balas yang baik serta lagu Mawar Kasturi juga diterima positif oleh pendengar. Ujarnya, ia memberi semangat buat Iklim untuk tampil dengan lagu-lagu baharu selepas ini.

Sehubungan itu, video muzik lagu Mawar Kasturi yang dilancarkan di YouTube MVM Music sekitar sebulan lalu hingga kini sudah mencatat lebih 601,000 tontonan dengan lebih 2,000 komen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 6:40 AM