MOHALIM (kanan) dan Kama menunjukkan baju Iklim2020 yang dijual sepanjang PKP. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
MOHALIM (kanan) dan Kama menunjukkan baju Iklim2020 yang dijual sepanjang PKP. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan saja menjejaskan peniaga malah memberi tamparan hebat kepada golongan artis khususnya penyanyi berkumpulan.

Kumpulan Iklim2020 yang dianggotai Mohalim (Bass), Kama (drum), Huzali (Keybord) dan Umarul (Gitar) selain menampil ahli baharu sebagai penyanyi utama iaitu, Azmani antara yang terjejas kerana PKP.

Sehubungan dengan itu Iklim2020 yang baru melancarkan single bertajuk Mawar Kasturi itu terpaksa membatalkan beberapa undangan nyanyian selain konsert berikutan PKP.

Mohalim berkata, dia dan Kama terpaksa menjual baju keluaran sendiri untuk menambah pendapatan sepanjang PKP berkuat kuasa.

"Sepatutnya sepanjang tahun ini kami mempunyai banyak undangan nyanyian termasuk konsert Tahun Melawat Kenyir pada 28 Januari lalu.

"Tetapi semua undangan nyanyian yang diterima terpaksa dibatalkan kerana PKP yang mula berkuat kuasa.

"Tamparan hebat juga buat Iklim2020 kerana kami baru saja melancarkan single selepas 17 tahun menyepi sekali gus merencatkan proses promosi lagu berkenaan," katanya.

Dia berkata, dia dan Kama saja yang giat dan aktif menjual baju edisi peminat Iklim2020 sempena single terbaru itu.

"Alhamdulillah setakat ini sebanyak 300 helai baju sudah terjual dan permintaan serta tempahan baru sentiasa diterima.

"Kami bertuah kerana peminat sentiasa memberi sokongan kepada Iklim2020 terutama ketika PKP sekarang," katanya.

Kama berkata, dia mempromosikan baju yang dijual melalui kumpulan peminat di WhatsApp dan Facebook.

"Sekurang-kurangnya ada pendapatan sampingan hasil jualan baju itu kerana sepanjang PKP aktiviti nyanyian tidak boleh diadakan.

"Kami merancang untuk kembali aktif membuat persembahan sepanjang 2021 tetapi perancangan itu tidak kesampaian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 2:18 PM