ANGGOTA Iklim (barisan depan dari kiri) Huzali, Saleem, Kama, Umarul (belakang kiri) dan Mohalim mahu kembali memeriahkan industri muzik tempatan.
ANGGOTA Iklim (barisan depan dari kiri) Huzali, Saleem, Kama, Umarul (belakang kiri) dan Mohalim mahu kembali memeriahkan industri muzik tempatan.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Ibarat pepatah carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum kembali. Begitu perumpamaan yang sesuai ditujukan buat kumpulan Iklim yang meniti populariti pada awal 1990-an menerusi lagu-lagu berhantu antaranya Suci Dalam Debu, Hakikat Sebuah Cinta dan Budi.

Iklim yang dianggotai Saleem (penyanyi), Umarul (gitar), Huzali (bass), Kama (dram) dan Mohalim (gitar kedua) mengambil keputusan membawa haluan masing-masing selepas menghasilkan album Pergimu Satu Tanda yang menampilkan Khir Rahman sebagai penyanyi pada 1998. Ketika itu Saleem berehat seketika daripada Iklim.

Sejarah kumpulan berasal dari Terengganu ini juga penuh warna-warni kerana berjaya menghasilkan lebih 10 album iaitu Satu Kesan Abadi, Bulan Jatuh Ke Riba, Budi, Dunia, Saleem (IKLIM), Iklim, Bukan Niatku, Salam Perpisahan, Sambutlah Tanganku dan Pergimu Satu Tanda.

Ia tidak termasuk album projek khas, kompilasi dan album solo Saleem. Bagaimanapun, Saleem tampil semula bersama Iklim menerusi album Bunga Emas pada 2003.

Mengambil sikap buang yang keruh dan ambil yang jernih, anggota asal Iklim kini kembali bergabung dan bakal menghasilkan single terbaru dalam masa terdekat terbitan Iklim Empire.

Hadir dalam sesi temu bual istimewa bersama RAP di Balai Berita, semuanya mahu menutup kisah lalu dan menyifatkan ia satu proses mematangkan diri masing-masing.

Biarpun ada antara mereka pernah ‘terlepas cakap’ tidak akan bergabung semula, semuanya sudah dilupakan dan apa yang penting ialah Iklim mahu kembali menawan peminat dengan muzik mereka.

“Selepas bergabung kembali dengan Iklim menerusi album Bunga Emas, saya berdikari dan menghasilkan album Epigoni yang turut menampilkan Umarul sebagai penerbit.

“Hubungan saya dengan Umarul memang rapat namun agak renggang dengan yang lain kerana Mohalim balik Terengganu bekerja dengan RTM di sana, Huzali bermain muzik di kelab seluruh negara manakala Kama ada kerja lain di Kuala Lumpur.

“Masing-masing akur dengan jalan hidup masing-masing. Saya sibuk dengan album solo dan perlu fokus pada promosi yang diatur. Sekarang kontrak saya ­dengan MVM dah tamat, jadi dapatlah fokus dengan Iklim,” kata Saleem yang menghasilkan lima album solo bersama syarikat itu.

“Apa yang boleh dikatakan jarak memisahkan kami semua. Saya dengan Saleem selalu berjumpa dan kerap berbual mengenai Iklim. Saya sampaikan apa yang dibualkan kepada kawan-kawan lain. Ternyata masing-masing ada rindu yang terpendam.

“Akhirnya kami sepakat untuk kembali bergabung dan memeriahkan semula industri muzik,” kata Umarul yang aktif menerbitkan album ramai penyanyi lain.

Ujar Mohalim pula, konsep muzik yang dibawakan mereka masih sama, namun diberi sentuhan terkini dan sudah semestinya khidmat Wan Zul sekali lagi ditagih untuk mengembalikan semula kegemilangan Iklim.

“Buat masa ini kami akan tampil dengan single terlebih dahulu. Insya-Allah selepas itu album penuh Iklim akan menyusul,” katanya.

Menangi hati Gen Y

Saleem berkata, Empire Iklim terbentuk dengan sokongan beberapa pihak. Lagu single juga sudah siap dan hanya menunggu masa untuk dirakam dalam masa terdekat.

“Pelbagai perancangan sudah diatur termasuk menghasilkan kemeja-T dan barangan eksklusif untuk dijual kepada peminat. Kami juga merancang nak buat persembahan di Terengganu dalam tahun ini juga.

“Diharap gabungan kami jadi satu berita gembira buat peminat dan mereka menyokong kami. Setakat ini kami dapati respon yang diterima sangat baik kerana peminat tertunggu-tunggu buah tangan terbaru Iklim,” katanya.

Sememangnya muzik Iklim tersendiri dan tiada galang gantinya dengan kumpulan lain. Bagaimanapun, kata Umarul, mereka sukar meramal cita rasa peminat generasi baru atau lebih dikenali dengan panggilan Gen Y.

“Dengan ketiadaan Iklim, saya nampak Hyper Act seakan-akan pengganti kami. Sebenarnya sebaik-baik kumpulan, penghasilan album mesti diterajui anggota sendiri, barulah pemilihan konsepnya tepat.

“Saya rapat dengan Wan Zul dan akan cari strategi terbaik untuk Iklim. Kalau boleh saya nak gegarkan kembali fenomena Iklim seperti dulu. Kami memang dah dikenali, tapi tak mudah juga nak tembusi pasaran terutama Gen Y kerana cita rasa mereka mungkin berbeza,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 5:01 AM