KUMPULAN rock popular era 1990an, Iklim.
KUMPULAN rock popular era 1990an, Iklim.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Iklim tidak pernah berkubur dan itulah hakikat sebenarnya," kata Mohalim yang juga pemain basis kumpulan rock popular era 1990-an dengan lagu Suci Dalam Debu itu, mengurai dakwaan pernah dilemparkan terhadap Iklim sebelum ini.

Ujar Mohalim lagi, selama 17 tahun Iklim menyepi dan 'hilang' daripada radar industri hiburan tanah air, semua anggota kumpulan itu tetap aktif bermain muzik. Namun, mereka ambil pendekatan berdiam diri.

"Selama 'tiadanya' kami dalam arena industri muzik berbelas tahun ini, ramai beranggapan serta ada  yang mendakwa kumpulan Iklim sudah tiada dan telah berkubur.

"Hakikatnya, kami semua masih lagi aktif dalam muzik masing-masing secara bersendiri kerana ada antara anggota Iklim menetap di Terengganu dan Kuala Lumpur. 

"Jadi, jarak itu yang memisahkan kami selama ini. Lagi pun, bila orang kata Iklim dah berkubur, kami hanya biarkan. Namun, semangat dan minat Iklim dalam muzik tidak pernah hilang dan pudar. Kami selalu ingin muncul dengan lagu baharu, tapi kena melihat masa dan mencari vokalis juga," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Mohalim, selepas Allahyarham Saleem membuat keputusan mahu bergerak solo, anggota Iklim yang lain akur dan mereka memilih untuk aktif dengan cara sendiri.

"Bagaimanapun, rindu nak ada lagu baharu buat peminat tetap ada. Sehinggalah, saya menghubungi rakan yang lain tahun lalu, untuk bertanya pendapat mereka. Alhamdulillah, semua setuju.

"Selain itu, saya juga sudah mendapatkan penyanyi Azmani yang juga menetap di Pantai Timur untuk bergabung dengan kami dan menjadi vokalis Iklim yang baharu," katanya.

Menurut Mohalim, pemilihan Azmani dirasakan tepat untuk menggantikan tempat Saleem, kerana pernah berpengalaman bersama dengan Iklim seketika, suatu ketika dulu.

"Bagaimanapun, Azmani tak boleh lama bersama Iklim ketika itu kerana dia terikat kontrak menyanyi dengan syarikat lain. Jadi, sekarang dia bergabung dengan Iklim bagi melunas janji.

"Apapun,  saya berterima kasih kepada peminat Iklim kerana menerima baik single terbaharu kami berjudul Mawar Kasturi yang dilancarkan secara rasmi sekitar sebulan lalu," katanya.

Kata Mohalim, lagu Mawar Kasturi hasil ciptaannya bersama Umarul serta seorang kenalan rapat, Abd Rahman itu, sudah dicipta lama tapi disimpan sahaja.

Selain Mohalim dan Azmani, kumpulan Iklim yang mengekalkan ahli dahulu diaggotai Umarul selaku pemain gitar, Kama (drum) dan Huzali (Keybord).

Sehubungan itu, muzik video lagu Mawar Kasturi yang dilancarkan di YouTube pada hujung November tahun lalu, hingga kini sudah mencatat lebih 545,000 tontonan dengan lebih 2,000 komen pendengar.

Rata-rata komen ditulis pendengar, mereka menerima baik lagu Mawar Kasturi itu selain ada yang beranggapan Iklim 'otai masih berbisa' dan lagunya kena jiwa serta sedap didengar.

Untuk rekod, kumpulan Iklim kali terakhir menerbitkan album berjudul Bunga Emas pada 2003 dan pernah muncul membuat persembahan terakhir bersama arwah Saleem pada Anugerah Meletop pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 2:58 PM