NINA Iskandar mengambil keputusan untuk menutup ruangan komen di Instagram.
NINA Iskandar mengambil keputusan untuk menutup ruangan komen di Instagram.
Sudirman Mohd Tahir


“SAYA kena banyak bersabar. Segelintir netizen ini sangat menguji tahap kesabaran saya. Macam-macam saya dapat. Biasalah, mereka suka buat spekulasi,” kata pelakon, Nina Iskandar mengenai sikap segelintir netizen selepas dia mengumumkan dirinya hamil di Instagram, semalam.

Disebabkan itu, Nina, 28, atau nama sebenarnya Nur Akmalina Iskandar berkata, mengambil keputusan untuk menutup ruangan komen di Instagram.

Nina berkata, dia tidak mahu komen negatif diterima mengganggu kehamilannya yang kini mencecah tiga bulan.

“Mereka bukan nak bagi kata-kata yang baik, malah menambahkan tekanan lagi yang mana ia tidak bagus untuk kehamilan.

“Jalan terbaik ialah saya tutup saja ruangan komen. Barulah rasa tenang sikit. Mereka seolah-olah lebih tahu kehidupan kita berbanding tuan empunya badan sendiri,” katanya kepada Harian Metro.

Nina yang popular menerusi drama Andainya Takdir berkata, dia dijangka bersalin awal tahun depan.

Nina berkata, sekarang ini dia masih berlakon selain sibuk menguruskan perniagaan produk kecantikan.

“Alhamdulillah, dapat juga saya berasa macam mana perasaan seorang ibu mengandung. Semuanya okey dan keluarga saya banyak memberi semangat dan nasihat sebab ini pengalaman pertama saya jadi banyak perkara saya tidak tahu.

“Saya kena kurangkan aktiviti, jaga emosi dan tak boleh banyak tekanan. Dalam masa sama, saya juga sibuk menjalankan perniagaan produk Aura Kasih. Alhamdulillah, tidak ada sedikit kesulitan pun. Alahan pun tidak ada,” katanya.

Terdahulu, Nina bernikah dengan lelaki pilihannya yang juga penolong pengarah drama, Mohd Azlan Adzanan, 37, pada awal April lalu.

Perkara itu dikongsi Nina menerusi majlis persandingan yang diadakan pada 4 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 12:47 PM