Nina Iskandar
Nina Iskandar

Kuala Lumpur: Pelakon Nina Iskandar, 31, terkilan menjadi mangsa penyebaran berita palsu yang mendakwa dia meninggal dunia dalam nahas jalan raya.

Nina atau nama sebenarnya Nur Akmalina Iskandar berkata berita terbabit sekali gus mengundang panik dalam kalangan orang terdekatnya.

"Saya menerima berita kurang menyenangkan ini daripada ibu bapa sendiri dari jauh. Saya ingin jelaskan ia adalah berita palsu. Saya masih hidup dan dalam dalam keadaan sihat, alhamdulillah.

"Daripada sebar cerita palsu yang saya meninggal kemalangan kereta, cubalah buat tajuk baik-baik doakan kesejahteraan sayakah. Kan lebih baik begitu. Alang-alang banyak masa tu kan.

"Tak pasal-pasal bikin orang lain panik. Saya pula yang 'blur'," katanya.

Terdahulu, pelakon drama Andainya Takdir itu berkongsi hantaran tangkap skrin sebuah berita dia sudah meninggal dunia yang disiarkan dalam hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Nina turut mengingatkan mana-mana pihak agar tidak mudah untuk menyebarkan berita sebegitu bagi mengelakkan kekeliruan ramai.

"Saya ingin ingatkan agar tidak menyebarkan berita tidak benar tanpa mendapatkan maklumat sahih terlebih dahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 1:27 PM