AKTIVIS Politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard. FOTO Arkib NSTP
AKTIVIS Politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegu Bard akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini esok atas pertuduhan memfitnah dan menghasut.

Peguam Rafique Rashid Ali, yang mewakili Badrul Hisham ketika dihubungi Bernama berkata anak guamnya akan didakwa pada jam 9.30 pagi.

Menurut peguam itu, beliau menerima pengesahan berhubung perkara itu dari pihak Bukit Aman.

Rafique Rashid berkata Badrul Hisham akan berdepan pertuduhan mengeluarkan kenyataan memfitnah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan satu lagi pertuduhan menghasut mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.

"Kenyataan memfitnah oleh pemilik akaun Facebook Chegu Bard yang menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan pertuduhan menghasut berhubung isu pengasas KK Supermart & Superstore Sdn Bhd mengadap Sultan Ibrahim," kata peguam itu.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata Chegu Bard ditahan dan reman dua hari untuk siasatan mengikut Akjta Hasutan 1948.

"Tangkapan berhubung hantaran yang mengaitkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dengan isu pembinaan kasino di Forest City serta melibatkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai benteng kritikan," katanya dalam kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 12:18 AM