BAKAT Nina diterima peminat lepas berlakon drama Andainya Takdir.
BAKAT Nina diterima peminat lepas berlakon drama Andainya Takdir.
Norhayati Nordin

Meskipun kebanyakan gadis masa kini membuat keputusan mendirikan rumah tangga pada usia muda, Nina Iskandar, 26, bukan seorang daripada mereka.

Nina yang pernah putus tunang dan gagal dalam percintaan, mengakui trauma dengan pengalaman kisah cinta lalunya.

Tidak menyalahkan takdir, Nina atau Nur Akmalina Iskandar berkata, apa yang berlaku itu berpunca daripada kesilapan dirinya sendiri.

“Pengalaman gagal dalam percintaan itu, bagi saya, berlaku kerana silap sendiri. Apatah lagi sampai satu tahap saya sanggup ikut rasa hati.

“Lepas putus tunang dulu, saya menjalin semula hubungan cinta dengan kekasih lama. Kalau ikutkan, sudah tujuh tahun kami bercinta.

“Walaupun hubungan percintaan itu tidak lancar kerana asyik putus dan sambung, disebabkan ikut kata hati serta perasaan sayang, saya tidak fikir panjang,” katanya.

Anak jati Brunei Darussalam ini berkata, biarpun kekasihnya itu kuat cemburu, dia juga sanggup cekalkan hati melayan kerenah lelaki itu.

“Mungkin kerana sayang dan ingin pertahankan hubungan kami maka saya pastikan menghubungi dia setiap hari memberitahu aktiviti harian.

“Apapun, sampai satu tahap saya letih kerana sampai bila harus menjaga hatinya. Ini kerana saya ada karier yang perlu diberi perhatian,” katanya.

Mengambil kata putus untuk mengakhiri percintaan itu dua tahun lalu, Nina berkata, ia dianggap keputusan tepat buat dirinya dan karier.

Apapun, kini dia akui sukar untuk mempercayai cinta lelaki kerana sering dikecewakan membuatkan dia selesa lebih berhati-hati.

“Sekarang kalau setakat berkawan itu, adalah tetapi kalau hendak ke tahap serius seperti bercinta, saya belum bersedia.

“Buat masa ini saya sangat yakin dengan perancangan Allah SWT untuk tumpuan dan fokus sepenuhnya pada karier lakonan.

“Saya juga yakin kalau sudah sampai jodoh, pasti takkan ke mana. Perancangan Allah SWT itu sangat baik buat hamba-Nya.

“Pada usia 26 tahun kini, saya masih muda untuk menjalani kehidupan berumah tangga. Jadi, lebih baik saya fokus pada karier dahulu,” katanya.

Nina juga tidak mahu memikirkan atau menyasarkan masa tertentu untuknya berkahwin. Kini tumpuannya lebih kepada karier apatah lagi dia persaingan industri hiburan di Malaysia makin sengit.

“Penting untuk saya memantapkan karier dan nama terlebih dahulu,” katanya.

Makin dikenali dan mendapat peluang selepas membintangi drama Andainya Takdir siaran TV3 pada Ramadan lalu, Nina berkata, ia dianggap rezeki.

Nina akui, dia kini bertambah yakin untuk dikenali peminat dan penonton melalui bakat lakonan dipersembahkan dan tidaklah hanya dikenali dengan cerita sensasi saja.

“Apapun, saya sangat bersyukur kerana kebanyakan maklum balas diterima daripada penonton sangat positif dan membina,” katanya.

Selesa lakon karakter berat

Bagaikan sudah menjumpai ‘kunci’ karakter yang sesuai buat dirinya, Nina berkata, dia kini lebih cenderung terhadap karakter berat.

Gadis berdarah kacukan Melayu, Pakistan dan Cina ini tidak sedikitkan keberatan, biarpun karakter berat memerlukan dia bermain banyak emosi.

“Walaupun melakonkan karakter berat ini mudah membuatkan saya letih kerana banyak bermain emosi, menariknya kepuasan diperoleh.

“Ditambah lagi apabila penonton menyukai lakonan itu, sekali gus, menjadikan kepuasan dirasakan sebagai pelakon berganda.

“Terasa segala kepayahan dan titisan air mata yang dikorbankan untuk menjiwai apa-apa karakter berbaloi dan hati pun lebih puas,” katanya.

Apapun, Nina akui tidak bersikap cerewet memilih watak dijayakan tetapi keutamaan diberi pada karakter berat.

Katanya, kalau sebelum ini ada pelakon beranggapan dia tidak boleh berlakon dan hanya mempertaruhkan wajah cantik, sekarang persepsi itu sudah berubah.

“Ada seorang pelakon berjumpa saya dan mengucapkan tahniah kerana dia tidak sangka saya boleh berlakon dengan baik.

“Selama ini pelakon itu hanya fikirkan saya hanya mampu melakonkan watak yang santai saja. Apapun, saya bersyukur bakat lakonan saya mula diperakui pelakon lain,” katanya.

Antara drama yang melonjakkan nama Nina ialah Lari Mira, Dendam Semalam, Padamu Aku Bersujud, Terlarang Sudah Rinduku dan Papa Ricky.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 9:41 AM