NINA kecewa apabila difitnah menjadi punca perpisahan membabitkan suaminya dengan bekas isteri. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
NINA kecewa apabila difitnah menjadi punca perpisahan membabitkan suaminya dengan bekas isteri. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Najiy Jefri


“SAYA sumpah dengan nama Allah SWT, semua dakwaan itu tidak betul sama sekali,” kata pelakon Nina Iskandar, 28, mengenai dakwaan dirinya menjadi punca keretakan rumah tangga suaminya dengan bekas isteri.

Nina tampil menjelaskan kekeliruan itu selepas menerima satu komen daripada pengikut yang bertanyakan mengenai khabar angin terbabit.

Enggan namanya diburukkan, Nina tampil mempertahankan dirinya apabila mengatakan suaminya bertemu dengannya selepas lelaki itu dan bekas isteri berpisah sejak setahun lalu.

“Sebenarnya suami dan bekas isteri sudah berpisah hampir setahun sebelum dia bertemu saya. Mereka secara rasmi bercerai pada Januari lalu bukan Februari.

“Mereka dah lama ada masalah rumah tangga, saya sendiri pun tak nak campur, biarlah itu antara mereka. Benda dah lepas pun.

“Apa boleh saya katakan, kami mula berkawan rapat dan hubungan mula serius selepas perkara ini selesai,” tulisnya.

Menurut Nina, dia mengakui kecewa apabila difitnah menjadi punca perpisahan membabitkan suaminya dengan bekas isteri.

“Soal jodoh ini rahsia Allah, kita sebagai ciptaan-Nya pun susah nak cakap. Anda boleh bertemu jodoh hari ini dan berkahwin esok atau berkawan lebih 10 tahun tapi tak jadi apapun hubungan itu.

“Saya agak kecewa difitnah menjadi punca mereka berpisah seperti didakwa. Padahal bukti semua ada dalam telefon bimbit peribadi suami, namun kami tidak pernah mengaibkan.

“Kami cuma simpan segala bukti jika berlaku perkara berbangkit yang memerlukan kami bertindak,” tulisnya.

Terdahulu seorang pengikut di laman Instagram peribadinya meminta pencerahan mengenai dakwaan adakah benar Nina seorang perampas apabila suaminya tergamak menceraikan bekas isteri.

Pada Ahad lalu, status hubungan antara Nina dan suami yang juga kru produksi Azlan Adzanan akhirnya terungkai selepas pasangan itu melangsungkan majlis resepsi di Forest Valley Hall, Cheras.

Mereka juga sudah empat bulan mendirikan rumah tangga selepas masing-masing disatukan dalam satu majlis tertutup yang dihadiri keluarga terdekat sekitar April lalu.

Berita berkaitan

'Dah empat bulan nikah' - Nina

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 6:13 PM