SEBAHAGIAN kutipan jualan tiket Konsert A Night Of Legends untuk bantu pesakit kanser.
SEBAHAGIAN kutipan jualan tiket Konsert A Night Of Legends untuk bantu pesakit kanser.
Ramlah Zainal


PENGANJURAN Konsert A Night Of Legends bukan calang-calang kerana ia menggabungkan empat penghibur bertaraf legenda berkongsi pentas buat julung kalinya dalam satu persembahan. Konsert A Night with Legends akan berlangsung di Pusat Persidangan Desaru Coast, Johor pada 6 Julai ini.

Empat penghibur legenda terbabit ialah papa rock, Datuk Ramli Sarip, Raja Pop, Jamal Abdillah, Datuk Khadijah Ibrahim dan Francesca Peter. Menurut Ramli, dia sudah sering menjayakan persembahan bersama Khadijah dalam konsert sebelum ini.

“Selain Khadijah, Jamal juga nama besar dan sudah ada jenama sendiri dalam industri seni tanah air. Namun, ia kali pertama saya bekerjasama dengan Francesca (Fran) dalam konsert seperti ini," katanya.

Ramli ditemui pada sidang akhbar Konsert A Nights Of Legends yang berlangsung di Khadijah Kitchen's Petaling Jaya, baru-baru ini.

Mengulas mengenai persembahan, Ramli berkata, mereka akan menghiburkan tetamu dengan rangkaian lagu popular masing-masing.

“Tetamu akan dihiburkan dengan lebih 20 lagu kerana setiap artis akan menyampaikan enam lagu dalam persembahan dua jam itu. Pemilihan lagu pula diputuskan artis sendiri kerana masing-masing ada lagu popular termasuk lagu duet.

“Saya ada lagu duet dengan Jamal dan Jamal juga ada lagu duetnya dengan Fran. Selain lagu popular, kami juga akan menghiburkan tetamu dengan lagu Inggeris sesuai untuk tetamu korporat pada konsert itu nanti,” katanya.

BANTU PESAKIT KANSER

Bukan sekadar berhibur, sebahagian kutipan jualan tiket untuk konsert itu akan disalurkan ke Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor. Menurut Ramli, dia juga tidak mahu melepaskan peluang membantu pesakit kanser.

“Saya mempunya ramai kawan yang meninggal dunia kerana menghidap kanser. Malah, saya baru sahaja kehilangan peminat yang menderita penyakit kanser darah, baru-baru ini,” katanya.

Begitu juga Khadijah yang mengakui memiliki ramai ahli keluarga dan rakan seperjuangan yang menghidap kanser.

“Sekian Lama berkecimpung dalam bidang ini, sampai masanya untuk saya membantu mereka yang memerlukan pula termasuk pesakit kanser.

“Kalau boleh setiap hari saya mahu bersedekah. Saya juga akan melelong baju rekaan Cef Zainal yang digayakan pada konsert dan hasil jualan akan disalurkan kepada yayasan terbabit,” katanya.

Maklumat mengenai pembelian tiket atau meja boleh layari laman web: www.desarucoast.com.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 4:30 AM