RAMLI Sarip.
RAMLI Sarip.
Ridzuan Abdul Rahman

Datuk Ramli Sarip sememangnya sinonim dengan kerja amal menerusi penganjuran beberapa siri konsert antaranya Konsert Blues Buat Teman dan Konsert Pelarian yang mendapat sambutan peminat.

Amat tepat sekali apabila Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) melamarnya untuk terbabit dalam Konsert Amal Doa Buat Kekasih yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (Persada) 1 September ini.

Konsert dianjurkan dengan kerjasama Rasa Karya Music Sdn Bhd dan MG Network itu bertujuan mengutip dana membantu pesakit kanser yang memerlukan kos rawatan dan perubatan.

Ketua Pegawai Eksekutif YKTLJ, Mohd Anizam Jamian berkata, mereka tidak menyangka lamaran untuk bekerjasama dengan Ramli disambut baik penyanyi legenda itu.

“Sebenarnya kerjasama ini ibarat magis kerana ia berlaku secara kebetulan. Saya berbincang dengan Ahli Lembaga Pengarah YKTLJ Datuk Ismail Karim untuk memilih artis yang sesuai bagi program tahun ini dan beliau menyebut nama (Datuk) Ramli.

“Sebenarnya sebelum beliau kata begitu, saya memang sudah berbincang dengan Sudirman, wakil dari MG Network untuk bekerjasama dengan Ramli.

“Ramli sudah berjumpa saya bulan lalu dan apabila Ismail berkata begitu, saya jelaskan kepadanya yang kami sudah berbincang sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, mereka dipanggil menghadap Penaung YKTLJ iaitu Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bagi membentangkan keputusan yang dicapai.

“Ia seolah-olah sudah diaturkan Allah. Ramli memang penyanyi yang kami undang untuk bekerjasama dengan YKTLJ.

“Kebetulan beliau hadir dengan tema Doa Buat Kekasih dan kami anggap ia unik. Dari segi pengertian, kekasih membawa maksud yang besar dan sesuai dengan tema kami.

“Saya pun rasa sangat bertuah apabila seorang penyanyi legenda datang ke pejabat saya untuk berbincang dan dia sangat mesra,” katanya.

Selain Ramli, konsert ini juga akan dijayakan Dayang Nurfaizah dan Ayai Illusi.

“Buat pertama kalinya Ayai akan menyampaikan lagu ciptaannya sendiri yang berjudul Cebisan Cahaya yang liriknya ditulis Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Jalil Sultan Ibrahim.

“Konsert ini diadakan sebagai meneruskan hasrat Tunku Abdul Jalil bagi membantu pesakit kanser yang berjuang untuk sembuh dan kami lebih suka menggelarkan mereka sebagai pejuang kanser,” katanya yang mensasarkan mengumpul dana RM3 juta bagi membantu pesakit kanser.

DARI kiri Anizam, Ismail, Ramli dan Ayai pada sidang media Doa Buat Kekasih.
DARI kiri Anizam, Ismail, Ramli dan Ayai pada sidang media Doa Buat Kekasih.

Dalam tempoh 2016 hingga Jun lalu, seramai 1,010 pesakit kanser dibantu membabitkan dana RM5.9 juta.

Ramli pula secara peribadi mengagumi pejuang kanser dan tersentuh serta sayu dengan nasib mereka.

“Mereka perlu terus diberikan harapan untuk hidup. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik tapi kita kena berbuat sesuatu untuk menyelamatkan pesakit.

“Saya harap penganjuran program bagi mencari dana dan membantu pesakit kanser ini akan terus berkembang. Saya akan berikan persembahan dengan sepenuh hati. Walaupun diberikan peluang buat apa yang saya suka tapi kena menghormati tema,” katanya.

Ramli berkata, lagu yang akan disampaikan mereka perlu dipelbagaikan cita rasanya dan tidak perlu sentiasa ada mood sedih.

“Saya tahu fitrah manusia yang suka berhibur. Memang agak sukar untuk saya cari lagu yang sesuai dan beberapa kali saya senaraikan lagu untuk dapat lagu-lagu yang memenuhi cita rasa semua.

“Sehingga kini pun saya belum dapat apa yang diinginkan tapi hampir 85 peratus sudah ada dalam perancangan.

“Persembahan ini akan mengambil masa selama dua jam dan mungkin akan diteruskan setengah jam lagi jika peminat masih belum puas hati,” katanya yang akan menyampaikan lagu Doa Buat Kekasih yang dipilih sebagai tajuk konsert ini.

YKTLJ mensasarkan syarikat korporat dan individu untuk menaja 85 meja makan yang ditawarkan dengan pakej meja platinum bernilai RM100,000, pakej emas RM50,000, pakej perak RM30,000 dan gangsa RM10,000.

Raja Zarith Sofiah dijangka mencemar duli berangkat ke konsert berkenaan selain sebahagian pesakit kanser juga turut hadir.

Tempahan meja dan tiket Konsert Amal Doa Buat Kekasih 2018 boleh dilakukan di laman Facebook rasmi Tunku Laksamana Johor Cancer Foundation dan Instagram Laksamana Foundation @tljcf.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 1:04 PM