RAMLI.
RAMLI.
Ridzuan Abdul Rahman

Walaupun kurang sihat akibat demam panas, Datuk Ramli Sarip tetap menampilkan persembahan hebat dalam Konsert Rock Allianz 2018 di Panggung Anniversari, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain Ramli, konsert eksklusif bertemakan Let’s Rock The Night! itu turut menampilkan kumpulan Ruuh dan berjaya menghiburkan lebih 2,000 penonton.

Ramli yang diiringi pemuzik hebat seperti Aji (gitar), Roza (keyboard) dan Ujang (dram) memulakan persembahan dengan lagu yang cukup ikonik iaitu Sejuta Wajah, Hilang Gelap Terbitlah Terang serta Istilah Bercinta.

Ketika itu, segelintir penonton yang mulanya berada di tempat duduk yang disediakan sudah tidak segan silu menghampiri pagar di depan pentas untuk menonton aksi penyanyi Sweet Charity ini secara lebih dekat.

Ramli turut menyampaikan lagu popularnya daripada album solo dan ketika bersama Sweet Charity seperti Jikalau Berkasih, Bukan Kerna Nama, Batu, Budaya, Keliru, Kamelia, Teratai dan Doa Buat Kekasih.

Selain itu, beliau turut membawakan lagu cover daripada Joe Cocker berjudul You Are So Beautiful.

Ramli ketika ditemui di sidang media selepas konsert berkata, dia tetap mengadakan persembahan walaupun kurang sihat kerana menghormati penganjur serta mahu menunaikan tanggungjawab menghiburkan penonton yang datang.

“Beberapa hari lalu saya demam selesema dan badan terasa bisa-bisa. Selepas berjumpa doktor, saya diberi ubat dan minum apa saja seperti madu yang boleh menyembuhkan.

“Kemudian saya berdoa kerana ada tanggungjawab yang nak kena buat. Inilah yang jadi kekuatan dan semangat saya untuk beraksi,” katanya.

Ramli berkata, dia tertarik apabila ditawarkan beraksi di Panggung Anniversari yang memberi banyak nostalgia kepadanya.

“Banyak kenangan manis di sini. Ketika saya bersama Sweet Charity dan tampil solo, penerimaan peminat sangat bagus dan memberikan kesan.

“Pada akhir 1970-an dan awal 1980-an, Panggung Anniversari adalah lokasi konsert yang sangat gagah. Penyanyi popular ketika itu memang ternanti-nanti untuk mengadakan per­sembahan di sini. Daripada Allahyarham Tan Sri SM Salim, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Search, Wings dan ramai lagi, semuanya pernah buat persembahan di sini,” katanya.

Ramli turut memuji usaha Allianz menganjurkan konsert ini dan berharap syarikat swasta lain turut mengambil langkah serupa.

“Datang ke hadapan buat persembahan. Cari tema yang baik, buat publisiti yang bagus dan tampilkan artis yang sesuai serta band yang baik. Mudah-mudahan ia mendatangkan satu kebangkitan seperti yang berlaku ini.

“Walaupun konsert ini percuma, persembahan yang diperlihatkan perlu hebat. Memang ia percuma, tapi untuk buatkan penonton duduk menonton sehingga akhir bukan satu perkara yang senang. Mereka tak perlu bayar dan kalau tak suka mereka boleh balik,” katanya.

Terdahulu, Ruuh yang menampilkan penyanyi yang popular di sirkit kelab, Amy menampilkan persembahan mantap dengan seleksi lagu rock era 1970-an dan 1980-an daripada Pink Floyd, Deep Purple, Queen, Guns N’ Roses serta Whitesnake.

RAMLI bersama kumpulan Ruuh.
RAMLI bersama kumpulan Ruuh.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad Zakri Khir berkata, pihaknya sejak awal merancang mengadakan konsert di Panggung Anniversari dan memilih Ramli sebagai artis.

“Ramli ialah sumber inspirasi untuk ramai pemuzik tempatan dan ini adalah peluang yang sempurna untuk kumpulan bukan arus utama seperti Ruhh mengadakan persembahan dengan seorang legenda rock.

“Pengalaman malam ini pasti sukar dilupakan peminat. Peluang melihat sendiri Ramli beraksi untuk konsert ini ialah satu pengalaman yang menakjubkan buat pelanggan dan rakan niaga kami,” katanya.

Ramli buat konsert di Ipoh pula

Jadual persembahan Ramli tidak pernah kosong kerana selepas ini beliau bakal menjayakan Konsert Doa Buat Kekasih yang turut menampilkan Datuk Khadijah Ibrahim di Hotel Casuarina Meru, Ipoh, Perak pada 7 Disember ini.

Konsert anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia Cawangan Perak dengan kerjasama Koloni Karyawan Aman Jaya (PORT), D’Va Event And Management dan Rasa Karya Music Sdn Bhd ini turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Tourism Perak.

“Ia bertujuan mengutip dana untuk tabung Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia cawangan Perak. Sepanjang pembabitan dalam dunia hiburan, saya menyokong penuh program murni seperti ini.

“Sebelum ini saya pernah bekerjasama dengan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) dan Singapura Kanser Foundation Ain Society dalam penganjuran konsert ini,” katanya.

Tiket konsert dijual berbentuk jualan meja pakej Meja Platinum RM50,000 (empat kerusi), Gold RM20,000 (lapan kerusi) dan Silver RM15,000 (lapan kerusi).

Turut disediakan ialah jualan meja berharga RM10,000 (lapan orang), RM5,000 dan RM3,000 yang memuatkan 10 orang.

Tiket berharga RM150 (dewasa) dan RM100 (kanak-kanak) turut diperkenalkan kepada peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 12:01 PM