FRANCISSCA, Ramli dan Khatijah bakal tampil pada acara A Night With Legends pada 6 Julai depan.
FRANCISSCA, Ramli dan Khatijah bakal tampil pada acara A Night With Legends pada 6 Julai depan.
Georgie Joseph


KEHEBATAN penyanyi lama sememangnya tiada tandingan dan semangat yang mereka tunjukkan perlu dicontohi penyanyi baharu.

Semua ini ada pada tiga nama penyanyi legenda iaitu Datuk Ramli Sarip, Datuk Khatijah Ibrahim dan Francissca Peter.

Mereka tidak perlu diperkenalkan lagi dalam arena seni suara dengan profil karier yang megah. Malah, nama mereka turut disanjungi dalam kalangan generasi baharu sekali gus membuktikan mereka layak dipanggil legenda.

Bakal berkongsi pentas bersama pada acara A Night with Legends di Pusat Persidangan Desaru Coast, Johor pada 6 Julai ini, Francissca sangat teruja dengan gabungan itu.

“Rasanya sudah lama sangat kami tidak berkongsi pentas bersama. Apalagi digabungkan dengan rakan seangkatan yang hebat-hebat ini, saya pasti acara itu akan menjadi kenangan paling indah buat yang hadir.

“Saya sendiri sudah tidak sabar untuk menyanyikan lagu bersama Datuk Jamal Abdillah yang turut membuat persembahan nanti. Bertahun lama rasanya kami tidak menyanyikan lagu itu bersama,” katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Sekadar Di Pinggiran ini menganggap gabungan itu adalah percaturan terbaik untuk acara berkenaan.

“Pada tahap ini, penonton boleh memberikan kepercayaan kepada corak persembahan bukan saya saja namun tiga penyanyi lain yang pastinya akan memukau. Kami berjanji akan buatkan penonton pulang dengan hati yang puas nanti,” katanya.

Sementara itu, Ramli berkata, dia mahu tampil dengan persembahan secara ‘all out’ pada malam itu. Sebagaimana selalu dilakukannya pada setiap persembahan, dia mahu berikan kualiti seperti konsert besar.

“Acara ini mungkin sekadar acara yang biasa di mata ramai. Namun, buat saya, tiada alasan untuk memberikan persembahan santai saja sebaliknya perlu memberikan persembahan yang penuh bertenaga.

“Apalagi, untuk acara berbayar sebegini, tentu sekali tetamu yang hadir mahu hiburan bertaraf tinggi. Oleh itu, saya akan memberikan tambahan lagi dalam setiap lagu yang dinyanyikan nanti,” katanya.

Persembahan amal itu bertujuan mengutip dana bagi membantu Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor. Maklumat mengenai pembelian tiket atau meja boleh didapati dengan melayari laman web: www.desarucoast.com.

Francissca bakal rakam album baru

Francissca kini mencari masa terbaik untuk kembali ke studio rakaman.

Apa yang pasti, dia bukan saja akan menghasilkan lagu baru malah merakamkan semula lagu lamanya.

“Sebenarnya ada lagu lama saya yang sangat bagus cumanya ia tidak diingati sebagaimana lagu Sekadar Di Pinggiran. Jika ada masa mengizinkan, saya teringin merakamnya kembali.

“Pada masa sama, saya turut melihat peluang untuk merakamkan album baru yang album itu akan dimuatkan dengan lagu baharu dan lama. Cumanya lagu lama itu diberikan nafas serta susunan baru ,” katanya.

Francissca juga turut menyentuh mengenai keterbukaannya untuk bekerja dengan komposer muda.

“Komitmen kerja dan masa saya sekarang ini memang sangat padat. Saya terbuka saja untuk menerima lagu daripada komposer muda namun tunggulah bila masanya sudah benar-benar tepat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 6:00 AM