NANA yakin dengan bakat dan potensi Zaaim selaku juara Mentor 7. FOTO Arkib NSTP
NANA yakin dengan bakat dan potensi Zaaim selaku juara Mentor 7. FOTO Arkib NSTP
Norhayati Nordin


PENYANYI, Siti Nordiana Alias atau Nana tidak menganggap protege bimbingannya dalam Mentor 7, Zaaim sekadar layak bergelar ‘juara semusim’.

Ia berikutan, nama Zaaim, 28, dilihat seakan sepi selepas pemuda kelahiran Kedah itu dinobatkan juara Mentor 7 pada 4 Januari lalu.

Nana, 34, berkata Zaaim sebenarnya tidak menyepi dalam karier nyanyian yang baru diceburi tetapi dalam proses menyiapkan single pertama.

“Zaaim ada bakat dan sayang kalau ia tidak diketengahkan sebaiknya. Apapun, yang saya tahu Zaaim akan muncul dengan single solonya.

“Namun, saya juga tak nafikan Zaaim agak kurang muncul dalam program hiburan sebaik pertandingan Mentor 7 berakhir.

“Bagaimanapun, ia tidak bermakna dia sudah sepi dan layak digelar juara semusim. Saya yakin, Zaaim ada rezekinya dalam bidang ini,” katanya.

Sehubungan itu, Nana yang beraksi bersama Jaclyn Victor di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33 minggu lalu dengan lagu Nisan Cinta mengakui dia puas.

Meskipun tidak menang, Nana berkata, dia cukup gembira apabila kebanyakan peminatnya berpuas hati dengan persembahan ditampilkan.

“Terus-terang, saya tidak berasa ralat atau kecewa pun apabila lagu Nisan Cinta tidak menang di AJL 33, baru-baru ini.

“Apa yang pasti, saya sudah gembira impian hampir 20 tahun yang tersimpan untuk beraksi di pentas AJL menjadi kenyataan,” katanya.

Mengulas perancangan 2019, Nana berkata, tidak lama lagi dia akan memperkenalkan penyanyi baru yang bernaung di bawah syarikatnya, SND Soul Entertainment.

“Saya tidak sabar untuk memperkenalkan bakat baru pertama daripada syarikat iaitu Shamimi dengan single solonya.

“Shamimi, 19, adalah protege yang saya singkirkan ketika Mentor 7 lalu. Kini, dia menjadi artis pertama naungan syarikat saya,” katanya.

Berbicara mengenai single solo Shamimi, Nana berkata, dia memberi kepercayaan kepada komposer dan penyanyi, Aizat Amdan untuk menghasilkan lagu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 6:02 PM