Zaaim (kiri) akui gementar jawab soalan Mas Idayu. FOTO NSTP
Zaaim (kiri) akui gementar jawab soalan Mas Idayu. FOTO NSTP
Norhayati Nordin


PROTEGE Siti Nordiana, Zaaim akui ungkapan ‘tiada komen’ yang dijawab kepada juri tetap Mentor 7, Mas Idayu bukan niat untuk melawan.

Terdahulu, pada konsert Mentor 7 disiarkan TV3 malam Ahad lalu, Mas Idayu bertanya, apakah Zaaim sudah kenyang makan puji-pujian setiap minggu selepas dipilih protege persembahan terbaik untuk tiga minggu berturut-turut.

Pemuda kelahiran Kedah ini, bagaimanapun menjelaskan jawapan spontannya itu berpunca daripada perasaan gementar dihadapi.

“Terus-terang, saya tiada ada niat langsung mahu menjawab sebegitu. Perkara itu berlaku di luar kawalan kerana terlalu gementar.

“Siapalah saya untuk melawan juri. Saya masih sedar diri, banyak perkara harus dipelajari untuk mengejar cita-cita menjadi penyanyi berjaya,” katanya.

Zaaim ditegur Mas Idayu kerana gagal menampilkan persembahan terbaik ketika menyanyikan lagu Januari dendangan asal Glenn Fredly.

Mengulasnya, Zaaim berkata dia sudah berusaha memberi persembahan yang terbaik tetapi apakan dayanya.

Ditanya juga dakwaan dia sebenarnya sudah berasa sangat yakin dengan persembahan itu, Zaaim atau nama sebenar Zaaim Abdullah, 28, menafikannya.

“Apa yang saya rasa ketika menyanyi lagu Januari itu adalah perasaan gementar. Ia perasan yang setiap minggu saya rasakan,” katanya.

Mengulas juga dia yang dikata bernasib baik menjadi protege Siti Nordiana atau Nana sekali gus menumpang populariti penyanyi dan pelakon berkenaan, Zaaim menganggapnya sebagai rezeki.

“Mungkin ini rezeki ditetapkan Allah SWT kepada saya untuk mendapat bimbingan daripada kak Nana sebagai mentor.

“Saya hanya mempunyai cita-cita dan minat untuk bergelar penyanyi. Namun, dari segi pengalaman beraksi di pentas besar seperti Mentor 7, saya bermula dengan kosong.

“Sekarang, saya sedikit demi sedikit belajar perkara baru dan menimba pengalaman untuk membina kerjaya sebagai penyanyi,” katanya.

Mengulas juga mengenai dirinya yang akan terus dilabel sebagai penyanyi kampung, Zaaim berkata dia melihat positif.

“Biarlah apa yang orang nak labelkan, saya terima. Lagi pun, memang betul saya berasal dari kampung dan usah dinafikan.

“Harapan saya, semoga bakat nyanyian ini akan terus mendapat perhatian dan pergi lebih jauh meskipun pentas Mentor 7 sudah berakhir,” katanya.

Menurut Zaaim, apa yang diimpikan semoga bakat anak kampung sepertinya akan diterima baik dalam industri hiburan tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 7:14 PM