TAUFIQ Rodzi. FOTO NSTP
TAUFIQ Rodzi. FOTO NSTP
Norhayati Nordin


PROTEGE penyanyi Siti Nordiana iaitu Taufiq Rodzi, 24, menjadi peserta pertama tersingkir pada konsert minggu ketiga program Mentor 7 yang disiarkan TV3.

Taufiq yang menyanyikan lagu Fantasia Musim Cinta nyanyian asal penyanyi Iwan dilihat gagal menyerlah berbanding peserta lain.

Ketika ditemui, Taufiq akui dia berasa sedih dan kecewa kerana menjadi peserta pertama yang disingkirkan di pentas konsert mingguan Mentor 7.

"Saya akur rezeki saya di pentas Mentor 7 hanya sehingga konsert minggu ketiga, namun penyingkiran ini sesuatu yang mengejutkan.

"Saya tidak menduga perjalanan yang baru hendak bermula, akhirnya berakhir lebih awal. Apapun, saya tidak akan patah semangat dengan kegagalan ini.

"Saya akan memperbaiki kelemahan diri dan pada masa sama nekad teruskan usaha untuk mengejar impian menjadi penyanyi yang berjaya suatu hari nanti.

"Cuma saya akui berasa kecewa kerana tidak dapat bertahan untuk membalas sokongan ibu bapa yang sanggup datang dari kampung di Kedah," katanya.

Taufiq berkata, dia juga tidak dapat menahan sebak apabila melihat ibunya yang kurang sihat dan berkerusi roda sanggup bersusah-payah datang demi memberi sokongan kepadanya.

Berbanding tiga Mentor lain iaitu Datuk Syafinaz, Aizat Amdan dan Hafiz Suip, kini Nana perlu bekerja keras bersama protege tunggalnya, Zaaim untuk terus bersaing.

Selain Zaaim, enam lagi protege yang kekal untuk bersaing di pentas Mentor 7 pada minggu hadapan ialah Lazarul, Ranisha, Megat, Pasya, Azmirul serta Amal.

Sehubungan itu, dua juri profesional untuk Mentor 7 kali ini ialah komposer berkaliber, Datuk Wah Idris dan penyanyi berpengalaman, Mas Idayu yang mewakili markah 50 peratus daripada keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 8:45 AM