NANA. FOTO Salhani Ibrahim
NANA. FOTO Salhani Ibrahim
Norhayati Nordin

Memahami erti satu perjuangan membuatkan penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana Alias tekad memberikan bimbingan mantap kepada protege tunggalnya, Zaaim.

Apatah lagi, melihat kesungguhan anak muda kelahiran Kedah itu mengejar impian bergelar penyanyi, ia bukan perkara mudah.

Begitupun, pengalaman Siti Nordiana atau Nana, 34, yang pernah menyertai program realiti TV pada 2015, diakui banyak membantunya.

“Dalam menghadapi persaingan di pentas program realiti TV seperti Mentor 7 sekarang, saya perlu memilih lagu tepat dan sesuai dinyanyikan Zaaim.

“Pemilihan lagu yang betul penting untuk memastikan Zaaim dapat menonjolkan tahap kemampuan vokalnya yang sebenar.

“Ini kerana, saya lihat semua protege dipilih berentap dalam Mentor 7 boleh dikatakan hebat dan terbaik.

“Mereka (protege) sudah bersedia untuk bersaing dan masing-masing memiliki kehebatan tersendiri dan saling mencabar,” katanya.

Mengakui bakat Zaaim masih banyak yang perlu digilap, penyanyi lagu Hatiku Milikmu ini menyifatkan protegenya itu sangat pemalu.

“Sekarang, saya cuba kikis sikap pemalu Zaaim kerana sebagai penyanyi, dia tak boleh jadi terlalu pemalu.

“Untuk menghiburkan orang ramai, seorang penyanyi harus kreatif dan Zaaim memiliki kelebihan itu dan dia cepat belajar,” katanya.

Mengulas mengenai peluang Zaaim untuk beraksi di pentas Mentor 7, Nana menyifatkan masih terlalu awal untuk meletak harapan.

Biarpun kini persembahan nyanyian Zaaim sudah berjaya mencuri perhatian juri tetap Mentor 7 iaitu Datuk Wah Idris dan Mas Idayu, ia tetap bukan jaminan.

Ujar Nana, pentas persaingan masih ada beberapa minggu lagi, jadi Zaaim tidak boleh leka dan dia harus kekal konsisten.

Selain Zaaim, barisan protege lain yang masih bersaing ialah Pasya, Ranisha, Megat, Azmirul dan Lazarul.

Selain Nana, tiga lagi mentor bertanggungjawab membimbing anak didik mereka ialah Datuk Syafinaz, Aizat Amdan dan Hafiz Suip.

Berbicara mengenai perkembangan karier seninya, Nana berkata, dia muncul dengan drama terbaru, Cekelat Honey.

Bergandingan dengan pelakon dan pengacara Fikry Ibrahim, drama 15 episod itu mendapat sentuhan pengarah Hadith Omar.

Mengulas mengenai wataknya, Nana berkata, dia memain peranan ibu tunggal yang menjalankan perniagaan kafe bernama Maya.

Bagaimanapun, Maya menjadi rebutan dua selebriti popular iaitu Ryan Harris yang dilakonkan Zarul Husin dan Adam Iskandar (lakonan Fikry).

Selain Nana, Fikry dan Zarul, drama komedi romantis Cekelat Honey dibintangi Zulin Aziz, Sham Visa, Nonny Nadirah, Fauziah Nawi dan Syura Badron.

Nana berkata, drama Cekelat Honey dihasilkan berdasar jalan cerita dua telefilem lakonannya bersama Fikry iaitu Cekelat Semanis Honey dan Cekelat Tak Semanis Honey.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 5:30 AM