AWIE & Dragon Malaya dan Hillary Ang Project bakal jayakan showcase bersama.
AWIE & Dragon Malaya dan Hillary Ang Project bakal jayakan showcase bersama.
Ridzuan Abdul Rahman

Selain Wings, nama Datuk Awie juga sudah sebati dengan kumpulan Dragon Malaya yang kini dianggotai Eddie Def Gab C/ XPDC selaku pemain bass, Lan Taro (gitar), Pae Projek Pistol/Search (dram).

Dragon Malaya ditubuhkan pada 2000 oleh Awie sewaktu merakamkan album Rentap dan ketika itu dianggotai Kid Search (gitar), CD Silkhannaz (gitar), Yus May (bass) dan Jojet (dram).

Kumpulan ini boleh dianggap sebagai rumah kedua Awie selepas berlaku krisis dengan kumpulan Wings yang menyaksikan dia meninggalkan band terbabit ketika itu.

Biarpun kembali semula bersama Wings pada 2002, Awie tetap memilih Dragon Malaya untuk mengiringi persembahannya apabila diundang menyanyi secara solo termasuk dalam konsert Wilayah International Motofest 2018 di Dataran Merdeka pada Februari lalu.

Menyedari potensi Awie & Dragon Malaya sebagai jenama hebat, syarikat penganjur Virtuosity & MPC Event mengambil keputusan berani menganjurkan Showcase Datuk Awie & Dragon Malaya yang akan berlangsung di House, G Tower, Jalan Tun Razak pada 28 Oktober ini.

Turut ditampilkan kumpulan Hillary Ang Project yang dianggotai oleh Hillary (gitar), Fauzi (bass), Kudin Headwind (keyboard), Elji (penyanyi) dan Pae (dram) sebagai pembuka pentas.

“Saya peminat tegar lagu rock. Saya rasa macam menipu diri apabila menyanyikan lagu pop. Menerusi album Rentap saya lepas gian untuk kembali dengan dunia rock.

“Dalam showcase nanti saya akan menyanyikan lagu daripada album Rentap dan beberapa lagu sebagai tanda penghargaan kepada kumpulan yang paling saya sayang, Wings.

“Susunan muziknya akan dibuat mengikut selera Dragon Malaya dan lagunya akan dipelbagaikan termasuk lagu jiwang,” katanya.

Lagu yang bakal ditampilkan dalam persembahan selama sejam setengah itu antaranya

ialah Kuda Tiga Kaki, Tinggal Satu Peluru, Tragedi Oktober, Penjara Janji dan Otak.

Tidak terkecuali, mereka juga akan menyanyikan lagu yang pernah dipopular kumpulan Ozzy Osbourne, Scorpions dan Iron Maiden.

“Saya cuma mahu memeriahkan industri dan menaikkan semula genre rock. Itu saja. Kalau dilihat sekarang, rata-rata muzik rock yang ada, minta maaf cakap, poyo..!

“Kami mahu generasi sekarang tengok persembahan pemuzik yang berumur 50-an ke atas. Dalam umur sebegini tiada apa yang sebenarnya kami nak kecuali kepuasan.

“Sebelum kami meninggalkan dunia ini, biarlah kami puaskan hati dan kembalikan irama itu kepada golongan muda untuk mereka teruskan perjuangan. Kalau lihat sekarang tiada kumpulan yang mewarisi kami,” katanya.

Awie memuji langkah House, G Tower yang sering memainkan lagu rock Melayu dan memberi peluang kepada kumpulan rock tempatan beraksi.

AWIE menjawab soalan pada sidang media.
AWIE menjawab soalan pada sidang media.

“Mungkin ada di antara peminat yang datang tertarik dan timbul minat untuk tubuhkan kumpulan yang boleh mewarisi karier seni kami.

“Saya nak cadangkan kepada Dragon Malaya dan Hillary Ang Project agar tampil dengan konsep tribute kepada kumpulan rock 80-an.

“Ia bermakna kami akan menyampaikan lagu rock era itu tak kira Melayu atau Inggeris. Kami akan adunkan semua lagu era itu dalam persembahan ini,” katanya.

Tidak ketinggalan, Awie juga akan menunjukkan kehebatannya memetik gitar secara solo pada malam itu.

“Saya bukanlah hebat sangat tapi bolehlah sekadar untuk menunjukkan bakat.

“Selain persembahan, peminat juga berpeluang ambil bahagian dalam cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah antaranya gitar jenama Ibanez,” katanya.

Mengenai penganjuran di tempat berskala lebih besar, Awie menyerahkan keputusan ini kepada penganjur sekiranya mahu melakukannya.

“Kami hanya ikut sekiranya ada yang berminat. Bagi saya bukan senang untuk menggabungkan kami semua. Ini gabungan yang pelik kerana ada pelbagai pemuzik berbakat.

“Ini sesuatu yang penting buat industri. Apabila ada gandingan mantap, pastinya akan menghasilkan satu perkara yang baik dalam industri.

“Saya sendiri kalau pergi luar negara dan kebetulan ada pemuzik bergabung untuk buat persembahan, saya akan menonton kerana rugi jika tak berbuat demikian,” katanya.

Tiket untuk menonton persembahan itu yang berharga RM120 boleh dibeli di House, G Tower.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 2:03 PM