WINGS sedang mencari lagu untuk album terbaru. -Foto fail
WINGS sedang mencari lagu untuk album terbaru. -Foto fail
Ridzuan Abdul Rahman


KESIBUKAN Datuk Awie dengan kumpulan Dragon Malaya untuk satu persembahan istimewa di House, G Tower, Jalan Tun Razak pada 28 Oktober ini tidak bermakna dia sudah melupakan Wings.

Baginya Wings tetap kekal di hati dan apa yang dilakukan sekarang sekadar mengisi masa sebelum mereka tampil garang dengan buah tangan terbaru.

“Wings sebenarnya mencari lagu untuk album terbaru. Pada masa sama, kami juga menyiapkan satu projek khas untuk peminat.

“Diikutkan Wings sudah terlalu banyak beraksi di khalayak peminat dan kami sepakat simpan Wings untuk satu projek besar yang akan berlangsung pada Disember.

“Wings akan beraksi bersama satu kumpulan dari luar yang diterbangkan ke Malaysia dan projek khas ini dirangka khas untuk Wings,” katanya.

Menurut Awie, sementara menanti detik itu, dia mengisi masa kosong dengan mengadakan persembahan untuk projek istimewa seperti persembahan Awie & Dragon Malaya.

“Yang kecil-kecil begini biar saya isikan dengan persembahan di kelab. Untuk Wings, kami merancang untuk mengadakannya di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) kerana lokasinya yang sesuai.

“Proses perbincangan dengan kumpulan luar ini masih berjalan dan ia akan jadi penutup 2018,” katanya yang mahu merahsiakan nama kumpulan ini buat sementara waktu.

Bercakap mengenai persembahannya bersama Dragon Malaya, Awie berkata, ia ibarat mengimbas pembabitannya ketika menyanyi di kelab pada sekitar pertengahan 1980-an.

“Ketika itu sekitar 1985 dan 1986 di mana saya baru nak memulakan karier dalam nyanyian. Sebenarnya memang dah ada perancangan untuk saya buat persembahan bersama Wings di kelab. Tapi, dengan keadaan yang ada, mengapa tidak saya bekerjasama dengan pemuzik lain pula. Dengan Wings boleh dibuat program jelajah kelab selepas ini,” katanya.

Awie berkata, dia hanya mahu menghidupkan semula zaman kegemilangan rock seperti yang dilalui suatu ketika dulu.

“Bagaimana anda lihat rock scene sekarang? Genrenya sangat huru-hara. Saya cuma nak kembalikan kehangatan muzik rock seperti yang dipopularkan Loudness, Deep Purple dan Scorpions.

“Walaupun ia rock, melodinya sedap didengar. Itu yang saya nak bongkarkan dalam persembahan ini supaya ia jadi tular untuk kita kembalikan semula scene rock & roll di negara kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 5:00 AM