KONSERT Awie dan Dragon Malaya di House Jalan Tun Razak. FOTO/NUR ADIBAH AHMAD IZAM
KONSERT Awie dan Dragon Malaya di House Jalan Tun Razak. FOTO/NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Ridzuan Abdul Rahman


GANDINGAN Datuk Awie bersama kumpulan Dragon Malaya bukanlah sesuatu yang baru buat peminat tegar penyanyi popular ini.

Ia wujud pada tahun 2000 yang menyaksikan pemuzik terawal terdiri daripada Kid Search sebagai pemain gitar, CD Silkhannaz (gitar), Yus May (bes) dan Jojet (dram).

Terkini, perjuangan Dragon Malaya diteruskan oleh pemuzik baru iaitu Eddie Def Gab C/XPDC, Lan Taro dan Pae (Projek Pistol, Empire dan Search).

Kehebatan gandingan ini bersama Awie jelas terbukti apabila memperlihatkan aksi memukau ketika mengadakan persembahan sempena Wilayah International Motofest 2018 di Dataran Merdeka pada Februari lalu.

Gandingan mereka diteruskan malam ini di mana Awie dan Dragon Malaya berjanji akan menggegarkan ruang House, G Tower, Jalan Tun Razak dengan persembahan berkonsepkan tribute kepada muzik era 80-an.

“Kami sudah melakukan latihan yang secukupnya untuk memberikan persembahan terbaik buat peminat.

“Lagu-lagu yang akan ditampilkan sangat menarik kerana kami buat tribute kepada lima kumpulan rock terkenal yang menjadi idola kami dan peminat suatu ketika dulu.

“Tribute ini merangkumi kumpulan tempatan dan antarabangsa. Ketika awal pembabitan kami dalam seni, mereka inilah yang menjadi penentu arah semua rockers,” katanya.

Menurutnya, penghargaan malam ini dibuat terhadap kumpulan Ozzy Osbourne, Scorpions, Cinderella dan Tom Jones.

“Lagu Tom Jones bukanlah rock tapi saya nyanyikan dalam bentuk rock dengan cara sendiri. Lagu ini dihasilkan pada 1968, iaitu tahun kelahiran saya.

“Saya juga akan menyanyikan lagu popular Wings buat penonton. Ini kumpulan kesayangan saya.

“Setiap persembahan dibahagikan mengikut segmen masing-masing. Ini satu benda yang menyeronokkan buat saya,” katanya.

Awie berkata, anggota Dragon Malaya yang akan mengiringi persembahannya juga sudah bersedia menunjukkan sentuhan berapi mereka pada persembahan itu.

“Kami sudah rapikan apa yang longgar dan kurangkan tekanan kerana malam ini kami mahu peminat rasa gembira.

“Persembahan ini ada sesi medley serta sesi melayan perasaan dengan lagu-lagu daripada album solo saya antaranya Kuda Tiga Kaki, Tinggal Satu Peluru, Tragedi Oktober, Penjara Janji dan Otak.

AKSI Awie dan Dragon Malaya.
AKSI Awie dan Dragon Malaya.

“Ibaratnya, kami seperti peti ‘Juke Box’ di mana peminat masukkan duit dan pilih lagu yang nak dimainkan.

“Kami akan tanya penonton lagu apa yang nak dinyanyikan dan akan cuba penuhi kehendak mereka,” katanya.

Sementara itu, Eddie mengakui Dragon Malaya akan membuat kelainan dari segi persembahan lagu-lagu yang biasa dimainkan mereka bersama Awie.

“Banyak lagu-lagu solo Awie yang tak pernah dinyanyikan di mana-mana persembahan akan dinyanyikan pada malam ini.

“Pemilihan lagu dibuat secara bersama oleh Awie dan Dragon Malaya. Awie lebih kepada meluahkan konsep yang beliau inginkan dari dulu lagi.

“Ia sangat berbeza ketika dia bersama Wings. Bahkan dia juga akan bermain gitar sambil menyanyi untuk beberapa lagu nanti,” katanya.

Eddie berkata, mereka hanya meminta Awie menyanyikan lagu Nurnilam Sari yang pernah dinyanyikan ketika menjadi penyanyi jemputan Search kerana tidak pernah menyanyikannya di mana-mana dan permintaan itu dipenuhi Awie.

Kumpulan Hillary Ang Project yang dianggotai oleh Hillary (gitar), Fauzi (bass), Kudin Headwind (keyboard), Elji (penyanyi) dan Pae (dram) akan ditampilkan sebagai pembuka pentas.

Tiket untuk persembahan ini dijual pada harga RM120.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 12:00 PM