KAYMA Yunus.
KAYMA Yunus.
Ridzuan Abdul Rahman

Tiada istilah serik di hati Kameliana Mohd Yunus atau lebih mesra dengan panggilan Kayma Yunus untuk terus memahat nama sebagai penyanyi.

Kayma, 35, pernah menandangani kontrak sebagai artis rakaman Pony Canyon (M) Sdn Bhd (kini Interglobal Music) ketika berusia 15 tahun dan bakal diperkenalkan sebagai penyanyi dangdut.

Bagaimanapun, perancangan itu bertukar apabila albumnya tidak dikeluarkan dan Kayma berduet dengan kumpulan Babylon dalam album metal rock.

“Saya penyanyi yang versatil dan boleh bawa apa saja lagu. Pembabitan dengan Babylon pengalaman berharga apabila banyak juga lagu kami rakam bersama.

“Tak dinafikan ada rasa kecewa apabila hasrat untuk ada album sendiri tidak kesampaian. Namun, pada usia muda saya tidak boleh berbuat apa-apa.

“Lagipun, ketika itu negara berdepan krisis ekonomi dan banyak album tidak mendapat sambutan. Ada sebab Pony Canyon berbuat demikian,” katanya.

Tidak putus asa, Kayma meneruskan kerjaya dengan menyanyi di hotel dan kelab. Daripada situ dia berasakan dirinya serasi menyanyi dengan band.

“Saya seronok bergerak secara berkumpulan dan menolak tawaran menjadi artis rakaman.

“Namun pada 2005, saya tergerak hati untuk buat album berjudul Demi Cinta yang memuatkan 10 lagu menggunakan modal sendiri di bawah label U-Knows Entertainment.

“Hampir RM96,000 saya habiskan dengan mendapatkan khidmat komposer popular namun album ini tidak dikeluarkan atas sebab tertentu,” katanya.

Kayma juga pernah mencuba nasib sebagai pelakon apabila membintangi drama Warkah Dari Alabama dan membintangi filem Kemarau Cinta serta Tak Ori Tapi Ok.

“Saya menyanyikan lagu Pelita Hatiku yang ditampilkan sebagai runut bunyi filem Kemarau Cinta dan turut tercalon sebagai Lima Lagu Terbaik Festival Filem,” katanya.

Kayma mahu mencuba nasib sekali lagi dalam industri seni tanah air apabila mengeluarkan semula album Demi Cinta yang berkonsep dangdut.

“Saya mahu merealisasikan impian yang tergendala sebelum ini. Lagipun, sayang pula biarkan album ini terperap selepas keluarkan belanja besar.

“Bagaimanapun, ada beberapa lagu dibuat penambahbaikan bagi meningkatkan kualitinya.

“Saya bergerak sendiri ke stesen radio dan hasilnya lagu saya sudah diluluskan rakam khanah RTM,” katanya yang menyasarkan lagu berjudul Demi Cinta dan Iyok-Iyok bakal diterima peminat.

Dalam pada itu, Kayma juga dalam proses menghasilkan single baru ciptaan Rosli Ahmad berjudul Sudah Jangan Bertanya terbitan Radical Records tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 10:46 AM