BERPELUANG terbit album baru selepas jadi pengkritik program D’Academy Asia di Jakarta.
BERPELUANG terbit album baru selepas jadi pengkritik program D’Academy Asia di Jakarta.
Nor Akmar Samudin


Dua dekad lalu, Rosalina Musa, 45, pernah diangkat media Singapura sebagai ‘Dangdut Queen of Singapore’ dan kenangan manis itu masih segar di ingatannya sehingga kini.

Pencinta lagu dangdut tanah air mungkin tidak mengenalinya kerana industri hiburan Kota Singa agak kecil.

Bagaimanapun, Rosalina pernah menghasilkan album berjudul Yok Dangdut terbitan Ambang Klasik Sdn Bhd tetapi atas beberapa sebab hatinya terguris dan kembali ke negaranya.

“Saya sempat berada di Kuala Lumpur tiga bulan saja. Selepas itu saya meneruskan kerjaya nyanyian di kelab di Singapura.

“Dua tahun pertama di kelab ini saya menghiburkan pengunjung dengan lagu dangdut. Walaupun ia kelab Inggeris, ketika itu ia berkonsepkan irama Melayu dan ada artis jemputan dari Malaysia dan Indonesia.

“Pernahlah saya membuat persembahan di kelab ini dengan mereka. Bagaimanapun, selepas dua tahun, pengurusan kelab mahu saya menyanyikan lagu Inggeris sehinggalah ke hari ini,” katanya.

Ujar Rosalina lagi, industi hiburan di Singapura tidak besar dan dia perlu akur dengan selera peminat muzik di sana. Namun, jiwanya tetap setia dengan irama dangdut.

Biarpun populariti yang dikecapi hanya seketika, Rosalina sempat tampil dengan album berjudul Salam Sayang.

“Jika ada majlis hiburan membabitkan artis dangdut Malaysia dan Indonesia, saya mesti ada sebagai wakil Singapura sehingga saya digelar ‘Dangdut Queen of Singapore’.

“Gelaran ini memang hebat tetapi kerana tidak banyak ‘show’ di Singapura, ia hanya tinggal kenangan,” katanya.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu bagaimanapun mendapat sinar baru apabila produksi program D’Academy Asia (Dangdut Academy Asia) di Jakarta menjemputnya menjadi pengkritik hujung tahun lalu.

“Ikut janji asal saya hanya perlu muncul dalam lapan episod tetapi mereka sambung sehingga 40 episod. Saya tinggal di Jakarta selama dua bulan.

“Selepas terbabit dalam program itu, jumlah pengikut di Instagram bertambah dan kini sudah ada 800,000 orang. Ada pengikut dari Brunei, Hong Kong, Singapura dan Malaysia. Sesungguhnya, ia di luar jangkaan saya.

“Ini kerana produksi program ini gemar beri kejutan kepada penonton yang ada kalanya saya diminta menyanyi untuk acara pembukaan,” katanya.

Menerusi perkembangan positif itu, Rosalina mengambil peluang menerbitkan album baru berjudul Beri Tepukan Gemuruh. Album yang diterbitkan di Jakarta itu turut memuatkan lagu daripada dua album terdahulunya.

“Saya penyanyi dangdut tetapi pada masa sama turut meminati rock. Jadi saya menyuntik elemen rock dalam lagu Beri Tepukan Gemuruh.

“Apabila sudah ada produk baru, saya mahu mencuba nasib di Malaysia,” katanya.

Penubuhan Persatuan Bintang Dangdut Malaysia juga memberi lebih ruang kepada Rosalina mencanai bakat di negara ini apabila dia turut mendaftar sebagai ahli Bintang Bersekutu.

Dia turut ditawarkan berlakon di Jakarta dan akan berangkat ke sana untuk melunaskan tanggungjawab sebagai pengkritik D’Academy musim kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2016 @ 5:00 AM