TEMAN lelaki sokong pembabitan dalam dunia seni sejak menyanyi di restoran sebelum sertai Mentor 5.
TEMAN lelaki sokong pembabitan dalam dunia seni sejak menyanyi di restoran sebelum sertai Mentor 5.
Nor Akmar Samudin

Sudah tujuh tahun Shiha bercinta dengan teman lelakinya iaitu sebelum menyertai Mentor musim kelima (Mentor 5) namun tidak suka menjaja kisah itu kepada media.

Itu tidak bermakna dia mahu merahsiakan hubungan mereka tetapi jika tiada siapa yang bertanya, tidak perlu dia pula menghebahkannya.

“Saya tidak mahu publisiti murahan. Jika ada yang ternampak kami berdua dan bertanya, saya akan beritahu perkara sebenar tetapi jika tiada yang bertanya, saya diamkan saja,” kata Shiha.

Menurut penyanyi yang berasal dari Pulau Mutiara itu, dia bertuah kerana lelaki yang bertakhta di hatinya itu sangat memahaminya dan merestui perjalanannya sebagai anak seni.

“Syukur kerana dia tahu saya mengejar impian bergelar penyanyi terkenal. Sejak awal pembabitan lagi dia sudah ada di sisi saya.

“Bermula dengan menyanyi di restoran kemudian menyertai Mentor 5 dan seterusnya saya mencuba nasib dalam D’Academy Asia di Jakarta pada Disember 2015. Meskipun dia bukan orang seni, dia mengerti perjuangan saya.

“Ketika kami berkenalan, dia masih belajar. Kemudian dia melakukan latihan amali dalam bidang kejuruteraan dan selepas itu bekerja. Kami kini sibuk memantapkan kerjaya masing-masing,” katanya.

Menurut Shiha, memandangnya usianya sudah 30 tahun, keluarganya mahu menetapkan tarikh pernikahan tetapi dia belum bersedia.

“Memang kami mahu berkahwin tetapi beri masa setahun dua lagi. Lagipun, saya tidak bercadang mengadakan majlis pernikahan secara besar-besaran yang memerlukan masa lama untuk membuat persiapan. Cukup laksanakan yang wajib saja dan buat kenduri untuk meraikan saudara-mara, kenalan, rakan artis dan media,” katanya.

Perkembangan lain, Shiha atau nama sebenarnya, Nurshiha Mohd Zikir melancarkan klip video single berjudul Seperti Novel Cinta ciptaan Ajai.

“Lagu ini sudah dirakam setahun lalu dan berjaya ke semi final Muzik Muzik 2016 tetapi dek kerana selepas keluar dari D’Academy Asia, saya sibuk berulang-alik ke Jakarta memenuhi pelbagai undangan di sana jadi pelancaran klip videonya turut tertangguh. Selain itu, saya juga merakamkan lagu dengan kumpulan terkenal Indonesia, D’ Masiv.

“Alhamdulillah, program D’Academy Asia memberi impak besar kepada kerjaya seni saya, malah peminat di Indonesia sering bertanya bila saya akan merakamkan lagu dangdut.

“Saya mencari komposer untuk menghasilkan lagu Melayu dangdut atau pop dangdut. Saya tak mahu dangdut asli kerana bimbang tidak ‘terbawa’ nanti.

“Saya bukan penyanyi dangdut tetapi untuk menembusi pasaran lagu di negara sana, saya kena buat lagu rentak itu. Rakaman akan dilakukan di Jakarta bagi mendapatkan tunjuk ajar penerbit di sana kerana saya kurang mahir dengan lenggok dangdut,” katanya.

Sambung Shiha lagi, itu juga strategi untuk membolehkannya bernaung di bawah label Indonesia, sekali gus menjadi tiket mudahnya menembusi pasaran muzik di negara itu.

“Saya akan segera ke Jakarta untuk proses rakaman sebelum visa kerja saya tamat pada Jun ini.

“Sejak menyertai D’Academy Asia saya juga ada peminat baru dari Singapura dan Brunei,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 5:00 AM