YANA ceburi pelbagai jenis perniagaan untuk menampung hidup ketika pandemik Covid-19.
YANA ceburi pelbagai jenis perniagaan untuk menampung hidup ketika pandemik Covid-19.
Ridzuan Abdul Rahman

BUKAN mudah untuk menjadi penyanyi serba boleh yang mampu menghiburkan pengunjung di hotel dan kelab kerana perlu menyanyikan lagu mengikut cita rasa mereka.

Keistimewaan ini terdapat pada penyanyi Kameliana Mohd Yunus atau mesra dengan panggilan Yana Yunus yang mempunyai pengalaman luas beraksi di tempat itu termasuk di luar negara.

Yana, 37, bukanlah nama baharu dalam bidang nyanyian kerana pernah dilamar sebagai artis rakaman Pony Canyon (M) Sdn Bhd (kini Interglobal Music) ketika berusia 15 tahun untuk diperkenalkan sebagai penyanyi dangdut.

Bagaimanapun, perancangan bertukar apabila dia digandingkan dengan kumpulan rock Babylon dalam album metal rock.

"Bersama mereka, banyak pengalaman yang diperoleh sekali gus menjadikan saya seorang penyanyi 'versatile'. Ikutkan perasaan kecewa ada juga kerana hasrat untuk ada album sendiri tidak kesampaian.

"Namun, pada usia muda saya tidak boleh berbuat apa-apa. Lagipun, ketika itu negara berdepan krisis ekonomi dan banyak album tidak mendapat sambutan. Ada sebab Pony Canyon berbuat demikian," katanya.

Yana meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi di hotel dan kelab selepas itu. Dia juga berasakan dirinya serasi menyanyi dengan band.

"Saya seronok bergerak secara berkumpulan dan menolak tawaran menjadi artis rakaman. Akhirnya pada 2005, saya tergerak hati untuk membuat album berjudul Demi Cinta yang memuatkan 10 lagu menggunakan modal sendiri di bawah syarikat U-Knows Entertainment.

"Kos yang dikeluarkan hampir RM96,000 kerana saya dapatkan khidmat komposer popular tetapi album ini tidak dikeluarkan atas sebab tertentu," katanya.

Memandangkan sudah berbelanja besar terhadap albumnya, Yana berusaha mengeluarkan semula album Demi Cinta yang berkonsep dangdut pada 2018.

"Beberapa lagu dibuat penambahbaikan bagi meningkatkan kualitinya. Alhamdulillah lagu Demi Cinta dan Iyok-Iyok diterima baik peminat. Pada tahun sama, saya juga mengeluarkan single berjudul Sudah Jangan Bertanya ciptaan Rosli Ahmad terbitan Radical Records.

"Saya sekarang tampil dengan single terbaharu ketiga berjudul Jangan Cemburu hasil ciptaan Azizul Adha manakala lirik Yyana/Azizul Adha yang diedarkan Insictech Musicland," katanya.

Ketika pandemik Covid-19, Yana yang berstatus ibu tunggal dua anak berusaha mencari rezeki menerusi pelbagai jenis perniagaan antaranya makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 6:30 AM