FEDERLINE bersama Britney.
FEDERLINE bersama Britney.
Susunan Michelle Gun

Britney Spears dan bekas suami, Kevin Federline kembali menjadi bualan hangat kerana membabitkan isu penjagaan dua anak mereka.

Menurut TMZ, Federline, 39, mendakwa dia kini berdepan masalah kewangan dan menuntut bapa Britney, Jamie menaikkan nafkah anak yang dibayar kepadanya.

Penari itu mendakwa nafkah bulanan sebanyak RM78,236 tidak mencukupi untuk menanggung perbelanjaan anak mereka iaitu Sean Preston, 12, dan Jayden James, 11.

Beberapa bulan lalu, Federline menggambarkan penjagaan anak bersama bekas isterinya sebagai mudah.

Lapor TMZ, Federline yang juga penyanyi enggan menjawab pertanyaan Jamie mengenai perbelanjaan wang itu.

Britney mencapai populariti luar biasa menerusi lagu Baby One More Time pada 1999 diikuti Opps! I Did It Again setahun kemudian.

Penyanyi itu masih menerima pendapatan lumayan sebagai residen di kelab Las Vegas dengan bayaran mencecah RM1.86 juta bagi satu persembahan.

Jumlah pendapatan diterima penyanyi berkenaan untuk setahun adalah RM58.74 juta.

Januari lalu, Britney dilaporkan menandatangani kontrak baru residen untuk persembahan tahun hadapan.

Pada 2006, Britney memfailkan penceraian selepas dua tahun mendirikan rumah tangga dengan Federline.

Sebelum itu, enam bulan sebelum bertunang dengan Federline, penyanyi terbabit berkahwin dengan Jason Allen Alexander, namun mereka bercerai 55 jam kemudian.

Selain Britney, Federline mempunyai dua anak bersama bekas tunangnya dan dua lagi hasil perkahwinan dengan isteri sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 2:22 AM