Reese Witherspoon.
Reese Witherspoon.
Agensi

Pelakon Reese Witherspoon menyifatkan apa yang berlaku dalam kehidupan bintang pop, Britney Spears ada persamaan dengan apa yang berlaku dalam kehidupannya.

Witherspoon berkata demikian dalam majalah Time dan berkongsi reaksinya selepas menonton dokumentari Framing Britney Spears.

Dalam temubual itu, bintang filem Big Little Lies itu berkongsi pengalamannya dikejar paparazzi yang ingin mengorek mengenai kisah peribadinya, sama seperti yang berlaku kepada Spears.

"Anak-anak saya tahu situasi yang berlaku ketika di pra-sekolah dan bagaimana paparazzi memanjat bumbung kereta kami," katanya.

Witherspoon juga membayangkan, apa yang akan berlaku dalam kehidupan dan kariernya sekiranya dia dilabel sebagai selebriti yang tidak baik oleh media.

"Apa akan berlaku sekiranya media anggap saya sebagai orang yang berbeza. Tentunya saya kini akan berada dalam kedudukan yang berbeza," katanya.

Media antarabangsa melabelkan selebriti seperti Spears, Lindsay Lohan dan Paris Hilton sebagai selebriti 'tidak baik' manakala selebriti sepertinya dan Jennifer Garner dianggap sebagai artis yang 'baik'.

Walhal, Witherspoon juga mengakui, ada banyak video di mana dia memaki hamun kepada kamera media dan paparazzi.

Witherspoon dan bekas suami, Ryan Phillippe bercerai pada 2008 di mana pada tahun sama juga Spears bercerai dengan Kevin Federline.

Kedua-duanya masing-masing membesarkan dua anak sebagai ibu tunggal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 7:33 AM