TOMLINSON
TOMLINSON
Susunan Michelle Gun

Anggota kumpulan lelaki popular One Direction, Louis Tomlinson ditahan pihak berkuasa selepas menyerang paparazi di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles, Jumaat lalu.

Menurut TMZ, penyanyi berusia 25 tahun itu dibebaskan dengan jaminan RM89,000 dan dikehendaki menghadiri perbicaraan mahkamah pada 29 Mac ini.

Difahamkan, Tomlinson menyerang dan menolak paparazi terbabit sehingga terjatuh berikutan berang mangsa tidak berhenti mengambil gambarnya.

Ketika itu, penyanyi Just Hold On terbabit dan kekasihnya, Eleanor Calder baru tiba di lapangan terbang selepas bercuti di sebuah lokasi.

Kejadian terbabit turut dirakam saksi dan dimuat naik portal Radar.

Keadaan bertambah keruh apabila Eleanor bertengkar dengan beberapa saksi yang merakamkan kejadian itu.

Saksi mendakwa Eleanor kemudian bergelut dengan dua peminat wanita yang merakam dia meninggalkan lokasi itu.

Selesai menyerang paparazi itu, saksi berkata, Tomlinson cuba meleraikan pergaduhan kekasihnya dengan wanita terbabit.

Bagaimanapun, dua wanita itu mendakwa mereka menjadi mangsa kejadian dan langsung tidak mengenali Tomlinson serta pasangannya.

Peguam Tomlinson, Martin Singer memberitahu TMZ paparazi terbabit mencetuskan provokasi sehingga mengundang penyanyi itu bertindak sedemikian.

“Dalam insiden itu, tiga individu lain turut menyerang Eleanor dan Tomlinson cuba mempertahankan kekasihnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 9:23 AM