GONG Yoo
GONG Yoo
Georgie Joseph

Annyeonghaseyo!!! Sama ada ia berita gembira ataupun bukan buat peminat, aktor Gong Yoo kembali menjadi perbualan hangat apabila dikatakan bakal berkahwin dengan aktres Jung Yu Mi.

Bagaimanapun, mengejutkan apabila pelakon Goblin terbabit membuat persiapan perkahwinan secara rahsia. Sehinggakan, hal itu kini semakin tersebar akibat ramai tak menyangka dia tidak membuat sebarang pengumuman pun.

Dalam kenyataan yang dimuat naik seorang netizen mengatakan pasangan itu sudah menetapkan satu tarikh untuk majlis berkenaan. Mereka dikatakan akan melangsungkannya di hotel di Seoul.

“Ada gosip mengatakan Gong Yoo dan Jung Yu Mi akan berkahwin di Shilla Hotel. Hal itu disampaikan sendiri kakitangan dari hotel,” dakwa individu itu.

Lebih mengejutkan, kenyataan berkenaan turut disertakan dengan butiran tarikh dan masa acara dilangsungkan. Sekali gus, ia menjadikan khabar angin itu memang betul.

Bagaimanapun, agensi kedua-dua pelakon itu serta-merta menyangkal khabar angin berkenaan selepas berita itu tersebar. Menurut jurucakapnya, mereka tiada hubungan istimewa melainkan hanya setakat sahabat karib.

“Ia sama sekali tidak benar bahawa Gong Yoo dan Jung Yu Mi akan berkahwin. Mereka hanya setakat kawan baik,” katanya.

Kenyataan itu turut disokong bapa kepada aktres terbabit yang menegaskan anaknya tiada masa memikirkan perihal untuk menamatkan zaman bujangnya. Dia sebaliknya banyak memfokuskan kepada aktiviti seni dan jadualnya padat.

“Jung Yu Mi bakal menjalani penggambaran filem Youn’s Kitchen 2 dalam beberapa hari lagi. Dia juga memberikan sepenuh fokusnya kepada penggambaran itu.

“Dia juga baru memotong rambutnya demi watak dalam filem terbabit,” katanya.

Gong Yoo dan Jung Yu Mi bertemu kali pertama kali ketika sama-sama menjalani penggambaran filem yang menjadi fenomena, Train To Busan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 3:30 AM