EKSPO Rumah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), di Dewan Kenangan,Majlis Perbandaran Sungai Petani.
EKSPO Rumah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), di Dewan Kenangan,Majlis Perbandaran Sungai Petani.

Kuala Lumpur: Kajian oleh rangkaian portal hartanah iProperty mendapati peningkatan harga hartanah di negara ini melonjakkan permintaan terhadap perumahan mampu milik.

“Sekalipun rakyat Malaysia bimbang tentang kenaikan harga rumah dan kemampuan memilikinya, permintaan terhadap hartanah Malaysia kekal kukuh, dari dalam dan juga dari luar negara yang semakin meningkat,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif iProperty Group, Georg Chmiel dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Kajian bertajuk ‘Kajian Sentimen Pasaran Hartanah Asia iProperty.com (H2) 2015’ adalah yang kelapan dan dijalankan menerusi laman sesawang peneraju iProperty Group di Malaysia (iProperty.com.my), Indonesia (Rumah123.com dan rumahdanproperti.com), Hong Kong (GoHome.com.hkandSquarefoot.com.hk) dan Singapura (iProperty.com.sg).

Kajian melibatkan lebih 15,000 responden dengan 43 peratus dari Malaysia (76 peratus di Selangor dan Kuala Lumpur dengan 74 peratus berusia antara 21 dan 30 tahun).

Sebanyak 55 peratus menyifatkan diri mereka sebagai pelabur, 24 peratus sebagai pembeli rumah kali pertama, 12 peratus sekadar memantau pasaran manakala lapan peratus lagi ejen hartanah, ekspatriat dan penyewa.

Kajian mendapati penduduk muda dan tenaga kerja berusia antara 21 dan 30 tahun berhasrat membeli kediaman namun dikekang oleh harga hartanah yang tinggi, kata Chmiel.

“Walaupun pelbagai skim perumhan mampu milik diperkenalkan oleh kerajaan selama ini, ia tidak mencukupi untuk menampung permintaan. Sebab itulah responden menggesa agar lebih banyak skim perumahan mampu milik diperkenalkan,” katanya.

Setakat ini, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) telah meluluskan pembinaan 153,000 unit rumah mampu milik di 110 lokasi di seluruh negara kecuali di Labuan dan menyasarkan untuk meluluskan pembinaan 250,000 unit lagi menjelang hujung tahun ini.

Menurut kenyataan itu, setakat Julai 2015, PR1MA menerima 1,016,000 pemohon. Rumah di bawah skim ini berharga antara RM100,000 dan RM400,000 dengan kos purata antara RM250,000 dan RM300,000.

Chmiel berkata responden berharap kerajaan akan memperkenalkan skim-skim lain yang dapat membantu kelompok berusia bawah 30 tahun memiliki hartanah dengan mengambil kira kemampuan pada harga hartanah semasa, kadar inflasi dan paras pendapatan dalam Bajet 2016.

“Rakyat juga berharap jumlah perumahan di bawah Skim Rumah Pertamaku Malaysia yang diperkenalkan dalam Bajet 2011 dan PR1MA yang diwujudkan di bawah Akta PR1MA 2012, akan ditambah dan juga dibina di lokasi strategik dengan pengangkutan awam yang baik,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak menghalang rakyat daripada melabur dalam hartanah, malah 56 peratus daripada responden berkata GST tidak menghalang mereka membeli hartanah, meningkat daripada 53 peratus sebelum pelaksanaan GST.

Namun, 42 peratus responden berkata GST meningkatkan kos sara hidup mereka antara lima dan 10 peratus, manakala 36 peratus berpandangan perbelanjaan mereka meningkat 10 hingga 30 peratus.

Beliau berkata berbanding enam bulan lalu yang menyaksikan peningkatan pembelian rumah sebelum pelaksanaan GST, banyak responden kini mengambil sikap tunggu dan lihat.

“Enam bulan lalu, 58 peratus responden mahu membeli hartanah dalam tempoh kurang daripada enam hingga 12 bulan, kini 50 peratus menimbang untuk membeli dalam tempoh satu hingga dua tahun atau lebih,” katanya.

Responden berharap kerajaan akan mempertimbangkan empat aspek utama dalam Bajet 2016 iaitu kawalan harga hartanah yang lebih baik, mengurangkan kadar faedah dan pinjaman perumahan, memperkenalkan opsyen lebih baik bagi skim perumahan seperti mengembalikan pelaksanaan Skim Tanggungan Faedah Pemaju untuk pembeli rumah kali pertama bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Mereka juga berharap kerajaan menyediakan insentif cukai bagi pemilik rumah untuk menggalakkan mereka menumpukan kepada penyewaan daripada menjualnya untuk mendapatkan keuntungan.

Chmiel juga berkata bajet yang diperuntukkan untuk membeli hartanah ditambah selain anjakan motivasi untuk membeli dan jenis hartanah yang hendak dibeli.

“Hampir separuh daripada responden kini menimbangkan hartanah berharga bawah RM500,000 hingga RM1 juta dengan kondominium menjadi pilihan. Sehubungan itu mereka menangguhkan pembelian pada masa ini, barangkali kerana mahu menyimpan lebih banyak untuk dijadikan bayaran pendahuluan,” katanya, menambah kelembapan ringgit meningkatkan daya tarikan hartanah Malaysia bagi pembeli luar negara. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 10:23 PM