Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Pasaran hartanah di Malaysia dijangka mencatatkan peningkatan jualan dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi berikutan pemulihan keadaan ekonomi dan jumlah permintaan yang tinggi.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif iProperty, Georg Chmiel berkata, walaupun ketika ini pasaran hartanah dianggap sebagai pasaran untuk pembeli, namun kebanyakan mereka yang berhasrat membeli hartanah terpaksa menangguhkannya berikutan kesukaran mendapatkan pembiayaan.

“Syarat pinjaman yang agak ketat ditetapkan institusi kewangan menyebabkan pembeli menangguhkan hasrat mendapatkan unit hartanah.

“Selain itu, keadaan ringgit yang masih lemah dan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) turut menyebabkan pasaran hartanah sedikit perlahan ketika ini,” katanya selepas sesi penerangan mengenai kaji selidik sentimen pasaran hartanah untuk suku pertama 2016, di sini.

Menurutnya, hartanah masih dilihat sebagai medium pelaburan terbaik untuk tempoh jangka panjang walaupun kebanyakan pembeli bimbang dengan trend kenaikan harga hartanah dan kemampuan untuk memilikinya.

“Hartanah terus menjadi pilihan untuk pelaburan kerana nilainya yang terus meningkat saban tahun, selain ia lebih stabil berbanding aset pelaburan lain.

“Malah, daripada kaji selidik yang dijalankan, 79 peratus rakyat Malaysia masih berminat mendapatkan hartanah dalam tempoh enam bulan ini,” katanya.

Chmiel berkata, kaji selidik yang dijalankan juga mendapati sebahagian besar responden mahu memiliki rumah mampu milik, namun menyifatkan penawaran hartanah seumpama itu masih berkurangan.

“Sebanyak 66 peratus responden khususnya yang menetap di Kuala Lumpur berpandangan bahawa rumah mampu milik yang ditawarkan tidak mencukupi walaupun pelbagai projek dijalankan pihak kerajaan,” katanya.

Kaji selidik berkenaan membabitkan 13,000 responden dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Hong Kong dengan 40 peratus daripadanya dari Malaysia. Seramai 71 peratus responden Malaysia berusia antara 20 hingga 40 tahun dan 58 peratus sudah berkahwin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2016 @ 5:03 AM