INISIATIF penerusan pengecualian duti setem seperti diumumkan di bawah Belanjawan 2023, menyasarkan bantuan kepada pembeli rumah pertama disokong. - FOTO Google
INISIATIF penerusan pengecualian duti setem seperti diumumkan di bawah Belanjawan 2023, menyasarkan bantuan kepada pembeli rumah pertama disokong. - FOTO Google
Fairul Asmaini Mohd Pilus


KETIKA jurang antara pendapatan dan harga rumah terus melebar di negara ini menyebabkan isu kemampuan dalam kalangan pengguna berkemungkinan besar akan menjadi trend yang berterusan.

Suka atau tidak, kita harus akui bahawa kebanyakan rakyat di negara ini tidak mampu untuk membeli hartanah kediaman yang berharga melebihi RM350,000.

Itu juga pendedahan PropertyGuru Malaysia hasil dapatan Kajian Sentimen Penguna Separuh Pertama 2023 yang dilaksanakan sebelum ini.

Menurut kajian itu, lebih separuh pula langsung tidak mampu membeli kediaman tanpa bantuan daripada kerajaan.

Manakala hanya seorang daripada 10 responden mempunyai bajet melebihi RM600,000.

Pengurus Negara PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my Sheldon Fernandez berkata, lebih ramai rakyat Malaysia menunggu inisiatif kerajaan yang boleh membantu mereka mencapai matlamat pemilikan rumah.

Kata beliau, kajian juga mendapati separuh pengguna Malaysia berpandangan mereka tidak mampu membeli rumah tanpa bantuan kerajaan dengan hampir tiga daripada empat responden menggesa kerajaan melaksanakan lebih banyak inisiatif untuk menangani isu kenaikan inflasi.

"Cabaran kewangan berterusan yang dihadapi pengguna seperti dilihat dalam kajian itu memberi lebih penekanan kepada kepentingan bantuan kewangan kerajaan dalam perjalanan pemilikan rumah rakyat Malaysia.

"Walaupun peningkatan gaji minimum terbaru sangat dialu-alukan, namun kenaikan inflasi turut meningkatkan perbelanjaan harian isi rumah yang menyebabkan simpanan bulanan rakyat semakin berkurangan dan mereka perlu meminimumkan perbelanjaan tambahan," katanya dalam satu kenyataan.

KEBANYAKAN rakyat di negara ini tidak mampu untuk membeli hartanah kediaman yang berharga melebihi RM350, 000. - FOTO Arkib NSTP
KEBANYAKAN rakyat di negara ini tidak mampu untuk membeli hartanah kediaman yang berharga melebihi RM350, 000. - FOTO Arkib NSTP

Dalam pada itu, selain gesaan kepada sokongan kewangan diterajui kerajaan, kajian turut mendedahkan dua daripada lima rakyat Malaysia tidak mempunyai pemahaman jelas mengenai terma kelayakan skim perumahan mampu milik.

Ia ketara dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan mereka yang berusia antara 20 hingga 29 tahun.

Selain itu, kajian berkenaan turut mendapati lebih separuh (58 peratus) pengguna Malaysia yang terdiri daripada golongan berpendapatan menengah berusia antara 22 hingga 41 tahun yang berhasrat membeli hartanah hampir mencapai sasaran simpanan mereka.

"Apa yang kita lihat dalam pasaran sejak kebelakangan ini adalah bakal pembeli rumah berhasrat untuk membeli tetapi mereka terhalang dengan isu kemampuan yang dijangka akan terus membelenggu sehingga kos keseluruhan kehidupan distabilkan.

"Dijangkakan pengguna akan terus mengutamakan penyewaan berbanding pembelian hartanah dalam tempoh beberapa tahun lagi," katanya.

Dalam pada itu, isu perubahan iklim terus menjadi kebimbangan utama bagi rakyat Malaysia terutama yang berusia 50 ke atas.

Ia susulan tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada Disember tahun lalu.

Kajian itu juga mendapati majoriti responden bersedia membayar premium insurans lebih tinggi bagi melindungi hartanah mereka daripada kesan perubahan iklim.

"Tragedi banjir terbaru di seluruh negara jelas menjejaskan banyak keluarga dan masyarakat semakin bimbang mengenai bencana alam.

"Usaha yang menggambarkan perubahan keperluan pengguna disebabkan faktor luaran daripada perubahan iklim sehinggalah kepada kemelesetan berterusan ekonomi perlu diambil kira bagi membolehkan orang ramai mencapai sasaran pemilikan rumah mereka," katanya.

ISU perubahan iklim terus menjadi kebimbangan utama bagi bagi rakyat Malaysia. - FOTO Arkib NSTP
ISU perubahan iklim terus menjadi kebimbangan utama bagi bagi rakyat Malaysia. - FOTO Arkib NSTP

Sementara itu, salah satu inisiatif yang disokong adalah penerusan pengecualian duti setem seperti diumumkan di bawah Belanjawan 2023, menyasarkan bantuan kepada pembeli rumah pertama.

Kata Fernandez, pihaknya percaya inisiatif itu bersama-sama dengan skim kerajaan menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) yang membantu peminjam tanpa pendapatan stabil akan memberikan sokongan penting kepada rakyat yang bergelut untuk mengekalkan kualiti kehidupan lebih baik.

"Ia khususnya golongan muda yang baru memulakan perjalanan hartanah mereka dan kami berharap untuk bersama-sama mereka dalam perjalanan memiliki rumah idaman," katanya.

Kajian itu membabitkan1,000 orang responden menerusi kaji selidik dalam talian dengan soalan berkaitan hartanah.

Dilancarkan pada tahun 2009 sebagai Tinjauan Sentimen Pengguna PropertyGuru, ia dilaksanakan dengan kerjasama Institut Research Consultants, sebuah agensi penyelidikan antarabangsa sejak tahun 2016.

Responden kajian meliputi gabungan profesional kolar putih, pekerja kolar biru, ahli perniagaan dan pelbagai lagi dengan segmen responden berpendapatan tinggi hingga menengah (65 peratus) dan rendah (35 peratus).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 7:00 AM