Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Keadaan pasaran hartanah dijangka terus mencabar terutama dengan isu utama, seperti ketidakmampuan memiliki rumah, kenaikan kos sara hidup dan kekurangan bantuan kewangan.

Tanpa faktor sokongan yang banyak, keadaan pasaran hartanah 2017 juga dijangka berdepan dengan kemerosotan berikutan beberapa isu utama yang dihadapi.

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), menjangkakan pasaran hartanah kekal perlahan tahun depan sama seperti yang dihadapi pada 2016 yang menyaksikan penurunan ketara dalam penawaran hartanah.

Presiden REHDA, Datuk Seri FD Iskandar berkata, pihaknya melihat tiada sebarang peningkatan akan berlaku, terutama dalam separuh pertama 2017.

“Jumlah penawaran hartanah turun sebanyak 30 peratus bagi suku ketiga 2016 berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Malah, jualan juga susut dengan ketara kepada kira-kira 30 peratus daripada penawaran pada separuh pertama tahun ini, berbanding 52 peratus bagi tempoh sama tahun lalu,” katanya yang ditemui di Forum Prospek PropertyGuru 2017, di sini.

Menurutnya, kesukaran mendapatkan pinjaman juga menjadi satu lagi halangan dalam pemilikan hartanah seperti yang dilihat dalam penurunan kelulusan pinjaman kepada 42 peratus tahun ini daripada lebih 50 peratus pada tahun lalu.

“Meskipun pasaran hartanah banyak dipengaruhi oleh pelbagai faktor, sesetengah hartanah tertentu khususnya rumah (atas tanah) yang terletak di lokasi strategik mungkin mampu mengekalkan nilai sedia ada atau menyaksikan sedikit kenaikan harga hartanah mereka,” katanya.

Sementara itu, REHDA turut berharap kerajaan mempertimbangkan untuk membuka Skim Pembiayaan Akhir atau end-financing khas kepada projek rumah mampu milik pemaju swasta bertujuan memudahkan pembeli rumah di bawah program Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

FD Iskandar berkata, skim terbabit juga sepatutnya dibuka untuk pemaju swasta yang membina perumahan mampu milik yang berharga RM300,000 ke bawah.

“Skim Pembiayaan Akhir ini hanya ditawarkan kepada projek PR1MA dan jika pemaju swasta turut diberi kemudahan pembiayaan yang sama untuk membantu pemilik rumah pertama, sudah pasti lebih ramai yang menerima manfaat,” katanya.

Skim Pembiayaan Akhir diumumkan dalam Bajet 2017 yang akan mula dilaksanakan 1 Januari 2017, menawarkan jumlah pinjaman mencecah 90 hingga 100 peratus.

Sementara itu, Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandes berkata, sesetengah lokasi tertentu yang menawarkan kediaman sewa berharga mewah mungkin dijangka mengalami penurunan sewa ekoran beberapa faktor luaran.

Beliau berkata, pemaju dijangka mengekalkan harga hartanah di bawah atau dalam lingkungan RM300,000 hingga RM500,000 dengan saiz unit berkeluasan antara 450 kaki persegi hingga 850 kaki persegi.

Selain itu, Lembaga Hartanah dan Perumahan Selangor (LPHS), menetapkan harga RM230,000 untuk hartanah jenis SOHO/SOVO/SOFO mampu milik manakala apartmen servis pula ditawarkan pada harga RM270,000.

Saiz bagi semua unit ini adalah sekitar 450 kaki persegi hingga 550 kaki persegi dan menurut Indeks Harga Hartanah PropertyGuru, ini bererti perolehan kasar untuk setiap isi rumah bagi tahun 2015 adalah RM6,075 sebulan.

“Seperti tahun ini, keadaan pasaran hartanah 2017 akan terus mencabar dari segi permintaan dan bekalan. Namun, kami percaya semua cabaran ini dapat diatasi menerusi strategi yang tepat.

“Bagi mereka yang ingin mendapatkan ketelusan perbandingan harga hartanah, Indeks Harga Hartanah PropertyGuru adalah tempat terbaik untuk anda mendapatkan nilai pasaran sebenar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2016 @ 5:05 AM