Oleh Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Melihat kepada kesukaran rakyat untuk memiliki kediaman, kerajaan telah mengambil beberapa langkah positif termasuk memperkenalkan pelbagai skim pembiayaan dan membina rumah mampu milik.

Ini termasuk skim yang diperkenalkan oleh kerajaan baru-baru ini seperti Skim Perumahan Belia (YHS) yang diumumkan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2015 lalu bagi membantu pasangan berkahwin memiliki rumah pertama dengan gabungan pendapatan isi rumah tidak lebih RM10,000.

Manakala daripada segi pengenalan rumah mampu milik, kerajaan pula menerusi agensinya seperti Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) menawarkan harga kediaman dijual lebih murah 20 peratus daripada harga pasaran di lokasi ia dibangunkan.

Langkah itu membuktikan kerajaan prihatin untuk menyediakan kemudahan kepada rakyat negara ini untuk memiliki kediaman dengan adanya skim bantuan kewangan serta mendapat harga rumah lebih rendah.

Perunding Hartanah, Tuanbri Hashim berkata, sememangnya jika dilihat kediaman mampu milik menawarkan harga lebih rendah dan skim bantuan pembiayaan membolehkan orang ramai membelinya tanpa sebarang isu.

Beliau berkata, bagaimanapun, bagi sesetengah kawasan misalnya di Kuala Lumpur, harga kediaman yang kini pada sekitar RM400,000 ke atas banyak ditawarkan berbanding RM300,000 ke bawah.

“Perkara ini menjadi masalah kepada individu yang ingin membeli rumah pada kadar harga RM400,000 memandangkan pendapatan mereka tidak cukup untuk menampung bayaran ansurans bulanan.

“Begitu juga skim yang mempunyai kuota atau had tertentu menyebabkan pembeli sukar membeli kediaman idaman mereka,” katanya kepada Bisnes Metro.

Tuanbri berkata, langkah kerajaan itu adalah sesuatu yang positif kerana sekurang-kurangnya ada individu yang boleh menikmati kemudahan berkenaan.

Katanya, daripada segi skim ditawarkan kerajaan yang menggunakan saluran bank juga tidak mudah untuk mendapatkan pembiayaan kerana pihak bank akan menilai kemampuan pembeli sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2015 @ 5:04 AM