iProperty.com.my berharap kerajaan akan meningkatkan usaha mempromosikan kawasan pinggir bandar.
iProperty.com.my berharap kerajaan akan meningkatkan usaha mempromosikan kawasan pinggir bandar.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Portal hartanah, iProperty.com.my berharap kerajaan akan meningkatkan usaha mempromosikan kawasan pinggir bandar dan perumahan sebagai alternatif menarik untuk penempatan bandar yang padat.

Pengurus Besar iProperty.com Malaysia Sdn Bhd (iProperty.com), Shylendra Nathan berkata, apabila permintaan pengguna untuk kawasan pinggiran bandar meningkat, kerajaan dapat memperkenalkan projek pembangunan infrastruktur utama untuk mengekalkan minat jangka panjang untuk kawasan tersebut.

"Dengan menjadikan kemudahan lebih mudah diakses di kawasan-kawasan ini seperti jalan raya, hospital, institusi pendidikan, kemudahan gaya hidup dan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih baik, kerajaan akan mengurangkan faktor tarikan bandar dan seterusnya mengurangkan kesesakan pusat bandar," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Beliau berkata demikian bagi menyatakan harapan portal hartanah itu untuk Bajet 2022 yang bakal dibentangkan tidak lama lagi.

Selain itu, iProperty.com mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk melihat keberkesanan pekerjaan berdasarkan komisen dalam tempoh dua tahun lepas dan mewujudkan kaedah untuk mengurangkan masalah yang mungkin timbul pada masa depan, kata Shylendra.

"Mengaitkannya dengan pasaran hartanah, pekerjaan berdasarkan komisen juga terdiri daripada ejen hartanah. Kami mengalu-alukan usaha kerajaan untuk membantu ejen hartanah kerana mereka akan memainkan peranan penting dalam memacu pemulihan ekonomi apabila perbelanjaan pengguna meningkat kelak," katanya.

Menurut Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) kira-kira 25,000 ejen hartanah berlesen terjejas sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama.

Dalam pada itu, bagi meningkatkan tadbir urus dalam pasaran sewaan hartanah, iProperty.com mencadangkan kepada kerajaan untuk menubuhkan kerangka digital untuk syarikat teknologi hartanah membangunkan sistem dalam talian yang komprehensif supaya dapat membantu memodenkan proses penyewaan, pengurusan dan pembayaran.

Sebagai contoh, Perjanjian Penyewaan yang dapat dilaksanakan dan disetem secara dalam talian akan mengurangkan halangan berkaitan dengan menyewa hartanah dan mengurangkan pertikaian di antara pemilik dan penyewa.

iProperty.com turut menyarankan kerajaan untuk melancarkan proses permohonan kemudahan pembiayaan rumah seperti Skim Sewa Untuk Milik (RTO), Skim Perumahan Belia, Dana untuk Rumah Mampu Milik dan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit) untuk mengurangkan lagi kesukaran untuk pembeli rumah kali pertama.

Pelbagai skim telah diperkenalkan sejak beberapa tahun lepas tetapi beberapa laman web mempunyai maklumat yang lapuk atau mengelirukan, ada juga beberapa skim mempunyai beberapa laman web yang berbeza.

"Meletakkan skim-skim ini di bawah satu bumbung akan menggalakkan pengguna untuk memilih skim terbaik, sesuai dengan kehendak dan keperluan mereka, justeru dapat melancarkan proses permohonan dan kelulusan.

"Oleh itu, untuk mendorong penyewa yang ingin beralih untuk menjadi pemilik rumah, kami mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan kerangka yang akan membolehkan institusi kewangan mengiktiraf sejarah pembayaran sewa rumah sebagai rujukan tambahan ketika menyemak permohonan peminjam," katanya.

Pelaksanaan kerangka itu akan memberikan para pembeli dorongan tambahan untuk meningkatkan peluang mereka mendapatkan kelulusan pinjaman perumahan, kata Shylendra.

Selain itu, program Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) harus disemak semula agar ia menjadi lebih menarik dari segi kelayakan dan kriteria pembelian rumah untuk peserta masa depan.

Beliau berkata pihak kerajaan juga harus konsisten apabila mengumumkan semakan semula terhadap dasar MM2H, ia akan melindungi reputasi Malaysia sebagai rumah kedua yang berdaya saing bagi pembeli rumah dalam kalangan warga asing dan meningkatkan minat mereka dalam pasaran hartanah Malaysia dalam jangka masa panjang.

"Program MM2H akan memainkan peranan penting dalam memulihkan ekonomi ke tahap yang lebih baik setelah dua tahun bergelut dengan kesan pandemik Covid-19 ketika Malaysia yang kini beralih ke fasa endemik pada akhir Oktober ini," kata Shylendra.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 6:17 PM