LOUIS (kanan) bersama Yeo (dua kanan) membuat pelepasan peserta kayuhan.
LOUIS (kanan) bersama Yeo (dua kanan) membuat pelepasan peserta kayuhan.
TENGKU Zainal Adlin mengetuai kayuhan.
TENGKU Zainal Adlin mengetuai kayuhan.
PESERTA berkayuh secara santai memasuki pekarangan UMS.
PESERTA berkayuh secara santai memasuki pekarangan UMS.
AKSI salah seorang peserta yang menunjukkan isyarat bagus.
AKSI salah seorang peserta yang menunjukkan isyarat bagus.
BEBERAPA peserta tersenyum puas sebaik menamatkan kayuhan.
BEBERAPA peserta tersenyum puas sebaik menamatkan kayuhan.
Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid


Berkayuh secara santai beramai-ramai sememangnya mengasyikkan. Tanpa perlu terkejar-kejar mengerah kudrat untuk sampai ke garisan penamat, rentak kaki berkayuh secara perlahan sambil mata menikmati keindahan alam.

Itu antara keistimewaan program ‘Sustainable Cities Ride 2015: Ride Safe’ anjuran bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan pertubuhan sosial, SustainableCities yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Disertai 500 peserta, kayuhan santai sejauh 31 kilometer (km) itu dilepaskan oleh Pengerusi Lembaga Sukan Sabah, Datuk Louis Rampas.

Acara bermula jam 7 pagi di Padang Merdeka Kota Kinabalu itu menyaksikan peserta berkayuh melintasi Tanjung Aru, pesisir pantai Likas menuju Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebelum kembali ke kawasan permulaan.

Hilang rasa penat apabila kedinginan bayu pagi yang bercampur dengan bayu Laut China Selatan menerjah ke tubuh menjadikan kayuhan terasa mudah.

Biarpun ada antara peserta masih baru berjinak dalam sukan berbasikal, keasyikan pemandangan yang berselang-seli dengan ragam serta gelagat peserta lain membuatkan jarak 31km itu terasa dekat. Cukup dekat hingga peserta tidak menyedari sudah sampai ke garisan penamat dan seakan-akan belum puas lagi berkayuh.

Begitu antara keistimewaan Sustainable Cities Ride 2015: Ride Safe yang memberikan pengalaman kayuhan sangat berharga buat peserta. Nilai estetik tidak terkira dapat menyelami keindahan alam dan pada masa sama, bersukan dan mengeratkan hubungan sesama ahli masyarakat.

Ketua Pengarah DBKK, Datuk Yeo Boon Hai berkata, program berkenaan adalah kali kedua diadakan yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat setempat mengenai kesejahteraan bandar raya yang perlu dipelihara.

Katanya, asas kayuhan itu bagi menyedarkan peserta bahawa kecantikan dan kebersihan Kota Kinabalu ini akan terpelihara jika mereka bersama-sama menjaganya.

“Pada kayuhan ini kita kumpulkan semua peminat aktiviti berbasikal tak kira kategori mountain bike, road bike atau downhill, yang suka berlumba atau berkayuh secara santai untuk menghargai keindahan alam sekitar.

“Kita juga terapkan aspek keselamatan kerana ia sebahagian konsep kesejahteraan bandar.

“Jadi, kita berharap mereka dapat menjadi penyumbang kepada kejayaan Sustainable City agar ia menjadi mampan, berdikari dari segi kesenian, kebudayaan, kebersihan, keselamatan dan pembangunan,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Penganjur Sustainable Cities - Ride Safe 2015, Dr Janie Liew Tsonis dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah (TTS) Datuk Seri Dr Tengku Zainal Adlin Tengku Mahmood yang turut sama berbasikal.

Yeo berkata, kayuhan berkenaan adalah aspirasi Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan dijangka akan dijadikan sebagai acara tahunan.

Malah, bagi memudahkan peserta untuk mengikuti kayuhan santai berkenaan, mereka memperkenalkan kategori kayuhan sejauh 6km bagi ibu bapa yang berkayuh bersama anak-anak.

Selain berbasikal, acara cabutan nombor bertuah turut diadakan bagi memeriahkan program kayuhan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2015 @ 5:01 AM