GELAGAT peserta sepanjang kayuhan.
GELAGAT peserta sepanjang kayuhan.
AKSI Mukhriz (tiga dari kanan) yang menyertai kayuhan.
AKSI Mukhriz (tiga dari kanan) yang menyertai kayuhan.
SEBAHAGIAN daripada lebih 400 peserta yang menyertai kayuhan.
SEBAHAGIAN daripada lebih 400 peserta yang menyertai kayuhan.
GELAGAT beberapa peserta ketika melalui laluan berlatarbelakangkan sawah padi.
GELAGAT beberapa peserta ketika melalui laluan berlatarbelakangkan sawah padi.
Oleh Omar Osman


Aktiviti berbasikal lasak atau kayuhan santai serta riadah yang popular dalam kalangan orang ramai bukan sahaja memberi manfaat kepada pengemar sukan berbasikal, malah memperkenalkan sesuatu lokasi sebagai destinasi sukan lasak dan pelancongan.

Ketika ini, banyak acara basikal lasak mahupun kayuhan santai dianjurkan pelbagai pihak dan kebanjiran pengemar sukan berbasikal ke Kedah sewajarnya dimanfaat sepenuhnya dengan menjadikan acara itu sebagai sukan pelancongan.

Yakin dengan kehadiran ramai peminat sukan berbasikal, Gerakan Belia 4B Merbok menganjurkan kayuhan santai dan riadah menerusi program Kedah Aman Makmur (KAM) Fun Ride 2015 di Pantai Merdeka, Sungai Petani, baru-baru ini dengan objektif untuk memperkenalkan lokasi itu sebagai pusat aktiviti riadah dan perkelahan.

Selain memperkenalkan Pantai Merdeka sebagai destinasi pelancongan, Kayuhan Santai KAM juga bagi mendekati peminat sukan berbasikal terutama golongan belia dan masyarakat khususnya penduduk kawasan berhampiran.

Pengerusinya Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Kayuhan Santai KAM 2015 berkonsep kayuhan mesra belia seperti diadakan tahun lalu dari Kuala Nerang hingga ke Pedu, tetapi kali ini dianjurkan di kawasan Pantai Merdeka de­ngan jarak kayuhan sejauh 53 kilometer.

“Kayuhan ini membabitkan lebih 400 peserta bermula dari pekarangan Pantai Merdeka melalui Kampung Bukit Tukang Jusoh, Kampung Bukit Kecil, Kampung Permatang Tengah dan Kota Kuala Muda seterusnya memasuki Jalan Tikam Batu menghala ke arah Sungai Petani serta melalui Jalan Lencongan Barat.

“Peserta kemudian melalui Kampung Sungai Pasir dan ke Jalan Batu Lintang sebelum memasuki Jalan Berapit dengan menghala ke Pekan Tikam Batu sebelum berpatah balik ke arah Jalan Kota Kuala Muda memasuki Jalan Kampung Sungai Mas dan kayuhan berakhir di Pantai Merdeka.

“Lebih menarik, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyertai kayuhan itu di jarak 300 meter dan bersama-sama berkayuh dengan peserta hingga Pantai Merdeka,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan Pantai Merdeka pada program kedua Kayuhan Santai KAM 2015 disebabkan lokasi terbabit antara destinasi pelancongan popular di Kedah berikutan memiliki persekitaran menarik dan wajar menjadi produk pelancongan.

“Beberapa lokasi yang dilalui mempunyai sejarah tersendiri terutama Kota Kuala Muda yang pernah menjadi kota atau pusat pemerintahan Sultan Kedah suatu ketika dahulu sebelum berpindah ke Alor Setar, manakala Kampung Sungai Mas dikenali kerana penemuan pelbagai artifak sejarah Kedah purba.

“Kita melihat ini sebagai produk pelancongan yang boleh diketengahkan, selain menyihatkan badan dengan berbasikal, malah peserta juga boleh mengenali lokasi sejarah yang semakin dilupakan,” katanya.

Peserta, Mohd Rafi Ishak, 48, dari Sungai Petani, berkata aktiviti berbasikal berkenaan berupaya mempromosikan pelbagai produk pelancongan domestik yang menarik dan berpotensi sekitar Pantai Merdeka bagi menarik kehadiran pelancong sama ada dari dalam atau luar negara.

“Pantai Merdeka dan kawasan sekitarnya bukan sahaja sesuai untuk aktiviti sukan berbasikal, malah memiliki pakej pelancongan yang menarik dan pihak penganjur disaran agar menganjurkan lebih banyak aktiviti berbasikal supaya tempat ini dikenali ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:03 AM