PENYERANG skuad hoki negara, Faizal Saari cuba melepasi dua pemain Jepun pada perlawanan malam tadi. FOTO L MANIMARAN
PENYERANG skuad hoki negara, Faizal Saari cuba melepasi dua pemain Jepun pada perlawanan malam tadi. FOTO L MANIMARAN
Saiful Affendy Sapran


Ipoh: Jepun belum ada masa untuk memikirkan aksi final Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) menentang Pakistan, Sabtu ini meskipun ia adalah kejayaan pertama mereka melangkah ke pentas final kejohanan jemputan itu.

Sebaliknya, ketua jurulatih skuad Samurai, Yoshihiro Anai berkata, fokus anak buahnya ketika ini lebih terarah kepada perlawanan terakhir bertemu Kanada, esok dalam usaha mengekalkan rekod tanpa kalah pada saingan kali ini.

"Kami seharusnya lebih fokus kepada perlawanan seterusnya bertemu Kanada. Daripada perlawanan itu kami akan mengenalpasti segala kelemahan dan cuba memperbaikinya.

"Barisan pemain perlu terus bekerja keras dan mengikut apa yang dirancang seperti biasa. Kami perlu kekalkan momentum ini," kata Anai.

Selepas empat perlawanan, Jepun melakar tiga kemenangan iaitu ke atas Korea Selatan, New Zealand dan Malaysia serta seri ketika bertemu Pakistan.

Pakistan serta Jepun menduduki dua tangga teratas dengan berkongsi 10 mata dan tidak mampu dipintas lagi oleh mana-mana pasukan termasuk skuad negara, sekali gus mengesahkan kemaraan ke final ketika berbaki satu perlawanan.

Mengulas kemenangan 2-1 ke atas skuad negara semalam, Anai memuji barisan pemainnya kerana bekerja keras untuk menafikan Malaysia daripada meraih keputusan seri atau melakar kemenangan.

"Setiap pemain beraksi dengan baik dan menunjukkan tahap disiplin tinggi di atas padang.

"Kami tahu Malaysia adalah pasukan yang mempunyai kepantasan, tetapi barisan pemain kami dapat menghalang mereka.

"Beberapa minit sebelum tamat perlawanan amat genting apabila Malaysia cuba mendapatkan gol penyamaan, tetapi pemain saya berjaya melepasi saat sukar itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 8:10 PM