KEJADIAN membabitkan tiga lelaki menyamar sebagai polis dan menyamun seorang lelaki di Kuantan. FOTO tular.
KEJADIAN membabitkan tiga lelaki menyamar sebagai polis dan menyamun seorang lelaki di Kuantan. FOTO tular.
Asrol Awang


Kuantan: Polis sedang mengesan tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota polis berkaitan kes samun terhadap seorang lelaki di sebuah restoran di bandar ini pada 2 Mei lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan, mangsa berusia 24 tahun ditarik suspek ketika bersama teman wanitanya berada di restoran itu pada jam 5.30 petang.

Katanya, ketika berada di restoran itu, mangsa dan teman wanitanya yang berusia 22 tahun didatangi tiga lelaki tidak dikenali memakai penutup muka dan bertopi yang menaiki kereta Proton Bezza bernombor pendaftaran palsu, VBW 8268.

"Suspek memperkenalkan diri sebagai polis dan terus menarik mangsa masuk ke dalam kereta dan beredar dari kawasan berkenaan.

"Menurut mangsa, kepalanya telah ditutup dan dibawa ke sebuah premis yang tidak diketahui.

"Pada jam 1.30 pagi, 3 Mei lalu, mangsa ditinggalkan di kawasan perkuburan Cina di kawasan Bukit Ubi, di sini dalam keadaan kepala masih bertutup.

"Mangsa kemudiannya berjaya melepaskan diri dan meminta bantuan rakannya. Mangsa mengalami kerugian berjumlah RM18,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

"Siasatan daripada segenap aspek sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta untuk tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Berdasarkan video tular berdurasi 42 saat, mangsa ditarik masuk ke dalam kereta di bahagian tempat duduk belakang oleh tiga suspek.

Mangsa turut digari dan pada masa sama seorang suspek menunjukkan kad yang dipercayai memperkenalkan sebagai polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 7:31 PM