RYUNOSUKE (dua dari kiri) dan Wen Chan menunjukkan trofi dimenangi mereka sambil diperhatikan Presiden SRAM, Gerard Montero dan Ketua Pegawai Eksekutif ACE Sports & Management, Chandran.
RYUNOSUKE (dua dari kiri) dan Wen Chan menunjukkan trofi dimenangi mereka sambil diperhatikan Presiden SRAM, Gerard Montero dan Ketua Pegawai Eksekutif ACE Sports & Management, Chandran.

Kuala Lumpur: Pemain negara meraih tempat ke Kejohanan Skuasy Dunia 2024 dengan kelebihan bermain di tempat sendiri susulan kerjasama strategik antara Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) dan penganjur, ACE Sports and Management.

Pemain pilihan keempat bagi kategori wanita, Yi Wen Chan, 23, berjaya merebut tempat untuk bermain di Kejohanan Skuasy Dunia di Kaherah, selepas menewaskan rakan sepasukan, Sehveetraa Kumar, 18, dengan permainan mengagumkan pada perlawanan akhir kelayakan di Pusat Tenis Jalan Duta, Ahad lalu.

Dalam bahagian lelaki, pilihan utama, Ryunosuke Tsukue dari Jepun mengatasi pemain tempatan, Addeen Idrakie untuk memastikan tempatnya pada kejohanan di Kaherah.

Sehveetra yang tidak diletakkan sebagai pilihan mara ke final kelayakan dengan mengatasi pemain pada ranking lebih tinggi sepanjang kejohanan.

Manakala rakan pemain Malaysia yang lain terus mencatat kemenangan dengan sokongan padu daripada penonton tempatan.

Penganjur ACE Sport and Management, Jadish Kumar memuji kemenangan Yi Wen sebagai bukti komitmen mereka untuk meningkatkan tahap skuasy di rantau ini dan menyediakan peluang kepada pemain muda untuk meraih kecemerlangan secara profesional.

"Kami berbangga dapat menganjurkan kejohanan ini di Malaysia. Itu kali pertama penganjurannya dan mencatat kejayaan besar.

"Kami lihat ramai yang hadir, penonton pun ramai. Ia sememangnya hari yang hebat untuk skuasy di negara ini," kata Jadish.

Pertandingan bermula pada 18 April itu menyaksikan tiga pemain Malaysia bersaing untuk merebut tempat ke perlawanan akhir dalam Kejohanan Dunia.

"Sungguh bangga untuk menyaksikan perlawanan akhir hari ini dengan keputusan yang luar biasa daripada kalangan bakat baru menjelang perlawanan merebut kejuaraan itu," kata Jadish.

Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S Maniam berkata, kejayaan bidaan ACE Sports and Management untuk menganjurkan acara kelayakan bagi zon Asia itu memberi peluang kepada pemain Malaysia beraksi di peringkat lebih tinggi.

"Pertama sekali, ia satu kelebihan bagi pemain kita untuk bermain di laman sendiri.

"Bukan itu saja, penonton serta pemain junior dan pemain lain berpeluang untuk menyaksikan beberapa pemain terbaik rantau ini bersaing untuk merebut satu tempat berkenaan," katanya.

Beliau berkata, kejohanan satelit sepanjang tahun anjuran ACE di seluruh negara bakal memberi manfaat kepada kelompok pemain baharu.

Katanya, SRAM mempunyai sekumpulan pemain muda yang dipercayai akan merapatkan jurang pada masa akan datang.

Yi Wen yang berada pada ranking ke-79, akan menyertai pemain utama iaitu Ng Eain Yow dan S Sivasangari beraksi di Kejohanan Skuasy Dunia bermula hari ini hingga 18 Mei ini.

Rachel Arnold (No 28), Aifa Azman (No 34) dan Aira Azman (No 41) pula melengkapkan pasukan Malaysia.

Perlawanan berkenaan disiarkan secara langsung di Squash TV PSA yang dikendalikan oleh pasukan penyiaran ACE Sports and Management, sekali gus menarik ribuan tontonan setiap hari dan kehadiran penonton yang ramai di Pusat Tenis Jalan Duta.

"Kira-kira 11,000 penonton menyaksikan seluruh kejohanan itu secara dalam talian.

"Komitmen berterusan kami adalah untuk melabur dalam bidang teknologi penyiaran dengan matlamat fasa seterusnya untuk menganjurkan kejohanan bertaraf dunia di rantau ini dan memenuhi permintaan penonton global yang semakin meningkat secara dalam talian," tegas Jadish.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 8:46 PM