Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Negeri Terengganu di Pekarangan Kompleks Sukan Negeri Gong Badak . FOTO GHAZALI KORI
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Negeri Terengganu di Pekarangan Kompleks Sukan Negeri Gong Badak . FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar dan Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Nerus: Isu kemiskinan tegar membabitkan 1,663 keluarga sehingga 2 Mei lalu di Terengganu akan dinoktahkan segera dalam tempoh dua bulan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim berkata, kerajaan optimis menyelesaikan masalah miskin tegar di negeri ini.

Katanya, kerjasama antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri perlu dalam usaha membasmi isu kemiskinan sekali gus menoktahkan miskin tegar di negeri ini.

"Kita bincang dengan Persekutuan dan negeri akan selesai, insya-Allah dengan jumlah tak sampai dua ribu tak kan lah dengan seluruh agensi kementerian, pelbagai kementerian dengan kerajaan negeri kita tidak boleh tolong 1,000 keluarga supaya selamat daripada kemiskinan yang tegar.

"Maksudnya tak cukup makan, tidak ada pakaian anak-anak, susah untuk beli uniform (pakaian) anak-anak ke sekolah.

"(Ini boleh dicapai) dengan syarat kerajaan negeri dan Persekutuan bekerjasama sepenuhnya (untuk) kita kenal pasti jumlah 1,600 keluarga dan insya-Allah, di negeri Terengganu, kita boleh noktahkan kemiskinan tegar dalam tempoh dua bulan akan datang, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Negeri Terengganu di Pekarangan Kompleks Sukan Gong Badak di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 7:42 PM