AKSI peserta melalui jambatan menuju ke Universiti Malaysia Sabah.
AKSI peserta melalui jambatan menuju ke Universiti Malaysia Sabah.
Erdiehazzuan Ab Wahid


Erti kemerdekaan begitu luas untuk ditafsirkan dan bagi segelintir peminat sukan basikal, berkayuh adalah satu cara mereka menterjemah semangat kemerdekaan.

Justeru, seramai 1,600 penggemar sukan berbasikal baru-baru ini berhimpun dan berkayuh hampir 35 kilometer (km) dalam Kayuhan Hari Kebangsaan bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2016 yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Berkonsepkan kayuhan santai, program anjuran Biro Tatanegara (BTN) Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) itu disertai pelbagai lapisan masyarakat terdiri daripada kakitangan agensi kerajaan, swasta, anggota kelab berbasikal dan individu termasuk 10 peserta dari Sarawak.

Biarpun secara santai, kayuhan bermula jam 6.50 pagi di Padang Merdeka, Kota Kinabalu amat mengasyikkan kerana peserta berpeluang menghayati pandangan sekitar bandar Kota Kinabalu yang mendamaikan biarpun padat dengan pembangunan.

Lebih menyeronokkan, peserta tidak perlu terkejar-kejar mengerah kudrat untuk sampai ke garisan penamat sebaliknya beriringan dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang mengetuai kayuhan bersama menteri kabinet Sabah yang lain.

Selain itu, kayuhan turut disertai Pengarah BTN Sabah Datuk Armizan Mohd Ali, isteri Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Raya Erom dan Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai.

Antara laluan peserta adalah Jalan Karamunsing, Jalan Mat Salleh, Harbour City, pusat beli belah Imago, Pasar Kraftangan, Tanjung Lipat menuju Yayasan Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebelum berpatah balik ke Padang Merdeka.

Bagi kenamaan, laluan kayuhan bermula di Padang Merdeka melalui Jalan Karamunsing, Bulatan Jalan Mat Salleh sebelum berpatah balik ke Padang Merdeka.

Penolong Pengarah Kanan BTN Sabah Mohammad Syahffie Japril berkata, program kali kedua itu adalah rentetan kejayaan penganjuran kali pertama yang diadakan tahun lalu berjaya menarik minat lebih 1,600 peserta.

Katanya, program itu bertujuan menyemarakkan Bulan Kemerdekaaan dan menyemai semangat patriotik dalam kalangan masyarakat Sabah dengan berkayuh mengelilingi beberapa kawasan menarik di bandar raya ini.

“Selain menghayati erti kemerdekaan, aktiviti seumpama itu mampu melahirkan masyarakat patriotik serta memiliki minda yang cerdas melalui aktiviti sukan,” katanya.

Hujan lebat sebaik tamat kayuhan tidak menghalang peserta untuk terus berada di Padang Merdeka mengikuti aktiviti lain yang disediakan penganjur.

“Syukur, semua berjalan lancar meskipun hujan lebat dan semua peserta masih kekal berada di Padang Merdeka di mana kami menyediakan beberapa aktiviti agar majlis tidak tergendala.

“Ini termasuk aktiviti cabutan tiket bertuah, pembahagian sijil dan makanan,” katanya.

Katanya, pihaknya juga akan terus mengadakan program seumpama ini pada masa akan datang selepas aktiviti sukan ini dimasukkan sebagai aktiviti tahunan Bulan Kebangsaan 2016 negeri Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2016 @ 5:01 AM