BARISAN pemain skuad sepak takraw negara bergambar bersama Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan (depan, tengah) selepas majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain, malam tadi. FOTO PSM
BARISAN pemain skuad sepak takraw negara bergambar bersama Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan (depan, tengah) selepas majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain, malam tadi. FOTO PSM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kapten pasukan sepak takraw negara, Farhan Adam akan memastikan trofi Piala Dunia berada dalam genggaman skuad negara.

Meletakkan sasaran untuk mara ke perlawanan akhir, Farhan berkata, trofi Piala Dunia itu satu-satunya yang belum pernah diraihnya sebelum ini dan kejohanan yang akan bermula pada 18 Mei ini di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur adalah medan terbaik untuk mendapatkannya.

Menurutnya, jika berjaya mendapatkannya, ia pasti akan menjadi kenangan manis tatkala dia masih belum pasti akan terus bersama skuad negara atau tidak selepas ini.

Begitupun, belum memikirkan persaraan biarpun sudah 15 tahun bersama skuad negara, apit kiri berusia 35 tahun itu bertekad untuk memastikan kejayaan itu di hadapan penyokong sendiri.

"Kalau bola sepak ada Piala Dunia, sepak takraw pun ada. Tapi kita pun tak tahu bila lagi Piala Dunia Sepak Takraw akan dianjurkan mungkin empat atau dua tahun lagi.

"Masa itu umur saya sudah berapa, saya pun tak tahu boleh main lagi atau tidak.

"Itu sebab kalau boleh saya mahu pastikan gelaran Piala Dunia itu boleh dicapai di hadapan penyokong sendiri dan saya dapat menambah koleksi kemenangan saya.

"Jika saya berjaya merealisasikannya selepas itu mungkin saya boleh fikirkan (persaraan)," katanya.

Semalam, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengumumkan senarai 16 pemain yang akan mewakili negara di Piala Dunia 2024 dalam satu majlis pelancaran jersi rasmi dan pengenalan pemain skuad sepak takraw negara.

Pasukan diketuai Farhan itu turut dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Zuhri Muhammad Zain, Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Syahmi Hussin selaku tekong.

Apit kanan atau killer pula dibarisi Mohamad Azlan Alias, Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Muhammad Redwan Hakim Muhammad, Baihakki A'rippin dan Muhammad Fetri Mohd Azwani.

Skuad kendalian Ahmad Jais Baharun itu membariskan Amirul Zazwan Amir, Farhan, Aidil Aiman Azwani, Muhammad Zaim Razali dan Norfaizzul Abd Razak untuk menggalas tugas di bahagian 'feeder'.

Sebanyak 21 negara akan berentap dalam kejohanan dunia yang bakal berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini pada 18 hingga 26 Mei, dengan 12 negara bersaing dalam kategori Premier termasuk Malaysia.

Dalam acara berpasukan yang menjadi tumpuan skuad sepak takraw negara diundi dalam Kumpulan C bersama-sama Jepun dan Brunei, sekali gus tidak berdepan masalah untuk melangkah ke suku akhir.

Bagi kategori regu pula, Malaysia dilihat mendapat laluan mudah apabila bersama China dan Brunei dalam Kumpulan B, manakala saingan double menyaksikan skuad kebangsaan berada dalam Kumpulan A bersama Jepun dan Brunei.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 7:45 PM